
KUALA LUMPUR: Perlembagaan PAS menetapkan pemilihan jawatan-jawatan parti dilakukan setiap dua tahun sekali di semua peringkat iaitu Pusat dan Dewan-dewan Pusat, Negeri dan Kawasan serta Jawatankuasa Kerja Kawasan dan Cawangan.
Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad berkata, sejak PAS ditubuhkan tahun 1951 lagi, proses pemilihan tersebut yang menjadi sebahagian amalan demokrasi PAS telah berjalan tanpa mengira tahun pilihan raya atau tidak mahupun perkara penting lain.
Perkara tersebut jelas beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai, sebagai menunjukkan bahawa PAS tidak merasa bimbang atau takut kepada unsur sabotaj apabila adanya Muktamar Tahunan atau Mesyuarat Agung Tahunan dalam tahun pilihan raya.
Beliau berkata demikian sebagai menjelaskan kehairanan pihak tertentu yang terkejut mengetahui proses pemilihan sedang berjalan di dalam PAS kini dan selama ini berlaku secara tenang; berbeza dengan kemelut, konflik dan polemik berlaku dalam parti lain.
“Ya memang tradisi dalam PAS macam itulah. Kami tak adalah program ‘gege’ ka, riuh ka, ‘hingaq’ ka. Sebab kami ditarbiyah oleh PAS, menjadi pemimpin ini amanah. Rujukan kami Al-Quran, Hadis, Ijmak dan Qias,” ujar beliau.
Jelasnya, tarbiyah di dalam PAS menyebabkan anggotanya mengambil peringatan daripada hadis Nabi SAW yang menegaskan tidak memberikan jawatan kepada orang yang meminta dan orang yang bernafsu mahukan kedudukan.
Tambahnya, selain hadis Riwayat Muslim itu, setiap ahli PAS juga cukup beringat mengenai amanah jawatan sebagaimana hadis masyhur daripada Sahabat RA iaitu ‘Abd al-Rahman bin Samurah RA mengenai peringatan Rasulullah SAW kepadanya.
“Wahai ‘Abd al-Rahman bin Samurah! Janganlah sekali-kali kamu meminta jawatan menjadi pemimpin (ketua). Jika kamu diberikan jawatan itu dengan meminta, nescaya Allah membebankan kepadamu.
“Dan jika diberikan jawatan bukan disebabkan meminta, nescaya Allah akan menolongmu,” ujar Ustaz Idris memetik hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim tersebut sebagai mengulang peringatan besar itu.
Pada ketika ini kebanyakan parti politik dalam tempoh pemilihan jawatan di pelbagai peringkat seperti cawangan, ranting, bahagian, cabang atau parlimen termasuk badan atau majlis kepimpinan tertinggi atau nasional.
Pun demikian terdapat parti yang telah berkali-kali menangguh atau menunda proses pemilihan atas kekhuatiran ia menyebabkan perpecahan, selain wujud kebimbangan kalangan pemegang jawatan sedia ada akan berlakunya peralihan jawatan.
Namun dapat juga disaksikan, kemuncak dominasi dan perebutan jawatan dalam kalangan parti politik tertentu telah menimbulkan sengketa dan permusuhan terbuka, termasuk pergaduhan hingga mengeluarkan senjata berbahaya.
Malah, semakin kronik apabila membarah amalan politik wang berupa sogokan rasuah dalam pelbagai bentuk, selain ugutan dan ancaman, termasuk nepotisme dan kronisme, serta paling malang mengabaikan operasi pemerintahan kerajaan yang sedang diterajui.
Itu tidak termasuk siri-siri majlis keraian secara mewah dipercayai melibatkan perbelanjaan besar hingga mula berbangkit sumber dana digunakan, serta pentas-pentas kempen yang menyerang dan membongkar pelbagai isu mengejutkan.
Sedangkan pemilihan di dalam PAS telahpun berlangsung melibatkan Ahli Jawatankuasa Cawangan sejak 1 Februari hingga 16 Mac lalu, diikuti Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) Dewan Pemuda, Dewan Ulamak, Dewan Muslimat Kawasan-kawasan pada 19 April 2025 hinggq 11 Mei 2025.
Seterusnya pemilihan AJK PAS Kawasan-Kawasan bermula 25 Mei hingga 29 Jun nanti, diikuti AJK Dewan Pemuda, Dewan Ulamak dan Dewan Muslimat Negeri-negeri pada 5 hingga 20 Julai.
Proses pencalonan AJK Dewan-dewan Pusat dan AJK PAS Pusat pula akan diterima daripada Dewan-dewan dan PAS Kawasan seluruh Malaysia yang akan berlangsung dalam Mesyuarat Agung Tahunan Dewan-dewan dan PAS Kawasan-Kawasan.
Sementara Muktamar Tahunan PAS Pusat akan diadakan pada 15 dan 16 September depan untuk memilih jawatan tertinggi dalam PAS di mana telah diumumkan berlangsung di negeri Kedah, selaku tuan rumah.
“Di dalam PAS kalau dok minta atau lobi (jawatan), tidak sempat habis baca iftitah dia kalah. Kalau ada orang yang macam ini dalam PAS, dia tidak boleh lama. Sama ada dia terkeluar atau dikeluar daripada PAS.
“PAS bukan Islam, dan Islam bukan PAS. Tetapi dasar yang termaktub di dalam Perlembagaan PAS fasal 3 Dasar PAS ialah Islam. Pemimpin PAS bukan maksum, tetapi mereka cuba yang terbaik untuk mempraktikkan apa yang diarahkan di dalam Islam,” tegas beliau. – HARAKAHDAILY 19/5/2025











