
GEORGE TOWN: Izhar Shah Datuk Arif Shah (PN-Seberang Jaya) mempertikaikan operasi penguatkuasaan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT), terhadap penjaja dan peniaga kecil yang tidak dikendali secara berhemah dan berperikemanusiaan.
“Berpada-padalah, berhati-perutlah. Kalau pun nak kejar markah audit yang baik, perlulah ada tindakan yang seiring. Turun padang, jumpa peniaga, cari solusi. Bukan terus rampas barang dan kenakan denda.
“Peniaga ini bukan nak kaya, bukan nak hidup mewah. Mereka berniaga sekadar mampu, dengan modal kecil. Tapi akibat penguatkuasaan terlalu keras, mereka hilang punca rezeki apabila barang mereka disita, malah terpaksa bayar kompaun tinggi,” katanya.
Menurut beliau kesan operasi penguatkuasaan sedemikian terhadap penjaja dan peniaga kecil, ia telah menambahkan lagi tekanan kepada golongan yang sudah sedia terbeban dengan kos sara hidup dan modal kecil.
Izhar Shah mencadangkan agar PBT mengutamakan sesi libat urus dan bimbingan bersama penjaja sebagai langkah penyelesaian jangka panjang ketika berucap dalam sesi perbahasan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, di sini hari ini.
Beliau turut meminta penjelasan daripada pihak kerajaan negeri mengenai jumlah sesi bimbingan dan libat urus telah dijalankan serta bilangan penempatan semula penjaja yang telah diluluskan di kawasannya.
“Berapa sesi bimbingan dan libat urus telah dibuat? Berapa penempatan penjaja baharu atau ke kompleks awam yang telah diluluskan dalam kawasan saya?” soalnya.
Menurut Izhar, pendekatan penguatkuasaan perlu disertai dengan penyelesaian praktikal seperti penyediaan fasiliti baharu, pelan reka bentuk bersesuaian dengan kekangan penjaja serta dasar kelulusan tapak yang lebih inklusif.
“Kita tak boleh hanya pakai uniform dan turun padang untuk sita barangan penjaja. Kita mesti fikirkan bagaimana untuk bantu mereka bertahan, membina kehidupan. Kalau tiada sokongan dan tapak alternatif, ke mana mereka hendak pergi?” tanya beliau.
Beliau memberi amaran bahawa kegagalan mengurus hal ini dengan adil dan saksama boleh menyebabkan hilangnya keyakinan rakyat terhadap sistem tadbir urus kerajaan negeri.
Menyentuh isu kesaksamaan dalam layanan terhadap wakil rakyat, Izhar mengingatkan kerajaan negeri bahawa prinsip demokrasi memberi hak dan peranan sama rata kepada semua ADUN.
“Janganlah kita bercakap soal keadilan dan inklusiviti, tetapi dalam pelaksanaan kita membezakan siapa yang duduk di pihak kerajaan dan siapa yang di pihak pembangkang,” katanya.
Beliau menambah, seandainya kerajaan benar-benar serius mahu membantu rakyat, maka mereka perlu memastikan semua wakil rakyat tanpa mengira latar belakang politik dilibatkan dalam proses membuat keputusan yang memberi kesan kepada komuniti masing-masing.
Akhirnya, Izhar Shah menyeru kerajaan negeri agar segera menyemak kembali prosedur pemakluman dan pendekatan penguatkuasaan yang sedang diamalkan kini.
“Saya bukan bercakap ini kerana mahu membela peniaga yang salah. Tetapi saya bercakap kerana mahu membela maruah dan nasib rakyat kecil yang tidak punya ruang dan suara dalam sistem ini,” ujarnya dengan tegas.
Beliau berharap sidang DUN kali ini menjadi titik perubahan kepada budaya pengurusan yang lebih adil, saksama dan berjiwa rakyat.
“Kita tidak boleh terus menutup mata kepada realiti di lapangan. Jika tidak ada reformasi dalam cara kita melayan rakyat kecil, maka kita telah gagal sebagai pemimpin yang diberi amanah,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 19/5/2025











