Kepulan asap vape tirai lemah, gagal dasar Madani

Datin Marzita Mansor
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Penularan penggunaan vape beracun yang mengandungi bahan psikoaktif dan dadah sintetik dalam kalangan remaja disifatkan sebagai satu kegagalan besar Kerajaan Madani melindungi generasi muda daripada ancaman kesihatan awam.

- Advertisement -

Pengerusi Pembangunan Wanita, Keluarga dan Usahawan Srikandi BERSATU Malaysia, Datin Marzita Mansor berkata, peningkatan ketara penggunaan vape yang mengandungi bahan terlarang seperti ‘magic mushroom’ dan ‘piao piao’ amat membimbangkan.

“Video dan laporan tular yang memaparkan remaja perempuan terketar-ketar seperti zombi selepas menghisap vape jenis ini bukan sekadar menyedihkan.

“Malah ia adalah penggera kecemasan terhadap kegagalan kerajaan Madani dalam menangani ancaman kesihatan awam yang semakin merosakkan generasi muda kita,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Beliau juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sena, Perlis berkata, produk vape beracun itu kini boleh didapati secara terbuka termasuk platform dalam talian dan pengedar haram yang menggambarkan kelompongan besar dalam penguatkuasaan undang-undang sedia ada.

“Di mana tindakan tegas Kementerian Kesihatan? Di mana keberkesanan undang-undang dan dasar penguatkuasaan sedia ada? Sampai bila anak-anak kita terus dijadikan bahan eksperimen dadah sintetik?” katanya.

Justeru, Srikandi Malaysia menggesa beberapa langkah drastik dilaksanakan segera oleh kerajaan bagi menangani krisis itu agar penguatkuasaan serta-merta dan menyeluruh terhadap pengedaran serta penjualan vape yang mengandungi bahan terlarang.

“Seterusnya, siasatan terbuka dan pendedahan data awam berkenaan kandungan sebenar vape di pasaran. Selain itu, pelan tindakan nasional yang merangkumi pendidikan pencegahan, pemulihan dan pengawasan ketat di sekolah serta institusi pengajian.

“Di samping itu, akta kawalan vape dan rokok elektronik yang tegas, dengan fokus khusus terhadap penyalahgunaan vape bercampur dadah,” gesanya.

Beliau turut mencadangkan pendekatan berasaskan tiga komponen utama iaitu dasar pendidikan dan kesedaran awam; dan khidmat pemulihan dan intervensi awal.

Marzita turut memuji tindakan proaktif beberapa kerajaan negeri seperti Terengganu, Perlis dan Kedah yang telah mengambil langkah berani mengharamkan penjualan vape di peringkat negeri.

“Ia menunjukkan keberanian politik dan kepimpinan moral dalam melindungi rakyat tanpa bergantung kepada kuasa undang-undang persekutuan.

“Ini juga adalah contoh teladan sebenar dalam perlindungan kesihatan awam, jauh mendahului dasar longgar kerajaan Madani yang masih gagal membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Generasi Penamat Rokok (GEG) secara tuntas dan bebas dari tekanan industri.

“Anak muda bukan bahan eksperimen farmakologi haram. Jangan biarkan ‘kepulan asap’ menjadi tirai kepada kelemahan dasar dan kegagalan perlindungan generasi masa depan,” katanya.

Justeru, beliau menyeru semua pihak untuk bersatu menyuarakan bantahan dan mendesak tindakan tegas demi masa depan anak-anak yang tidak boleh digadaikan dengan sikap lepas tangan.

“Srikandi Malaysia akan terus bersuara dan menuntut tindakan. Kami tidak akan berdiam diri selagi racun ini terus dijual secara terbuka dan berlegar di tangan anak-anak kita. Bangkit lawan racun moden. Selamatkan generasi pewaris negara,” katanya.

Terdahulu, tular satu video yang dimuat naik oleh seorang pemuda di Petaling Jaya menunjukkan keadaan teman wanitanya yang mengalami simptom seakan zombi selepas dipercayai menghisap vape jenis ‘piao piao’.

Gadis itu dilihat bergetar seluruh tubuh, mulut ternganga dan matanya memandang ke atas sebelum rebah ke lantai.

Menurut pemuda itu, gejala ketagihan bermula selepas gadis tersebut mengalami tekanan akibat putus cinta. – HARAKAHDAILY 19/5/2025

- Advertisement -