
MACHANG: Kelemahan kepimpinan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) menjadi punca utama yang menjejaskan hasil tanaman dan menambahkan beban kehidupan pesawah di daerah ini, terutama apabila berdepan bencana seperti banjir dan ancaman haiwan perosak.
Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, sebagai kawasan sawah di luar jelapang padi, peranan PPK di Machang sepatutnya lebih aktif sebagai jambatan antara pesawah dengan agensi berkaitan.
“Kesan daripada kelemahan ini, hasil pesawah tidak optimum malah makin melarat kehidupan mereka bila berdepan dengan ancaman banjir, haiwan perosak yang semuanya memerlukan kepimpinan PPK untuk selesaikan bagi pihak pesawah melalui perundingan kolektif.
“Setelah siasat, saya kenal pasti punca masalah iaitu orang yang pegang PPK ini lantikan politik Kerajaan Madani yang tak berfungsi secara sepatutnya,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, tadi.
Beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, turut menyokong cadangan pesawah agar Pengerusi PPK di seluruh negara dinilai keberkesanannya setiap tahun.
Beliau berkata, ia sebagai langkah untuk memastikan prestasi dan akauntabiliti mereka dapat dipantau secara telus oleh kementerian.
“Saya setuju dengan cadangan pesawah yang sepatutnya setiap tahun Pengerusi PPK di seluruh negara perlu dinilai keberkesanannya agar maklum balas dapat diambil dan diketahui.
“Khususnya oleh Abang Mat Sabu (Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu) bahawa orang lantikan parti dia tak buat kerja yang sepatutnya.
“Sudahnya nama Abang Mat yang terpalit. Ada banyak lagi isu pesawah dan petani Machang yang saya akan lawan, serta perjuangkan bagi pihak mereka,” katanya.
Terdahulu, Wan Ahmad Fayhsal mendengar sendiri aduan dan rungutan daripada pesawah Machang yang mengeluh kerana terpaksa berurusan secara terus dengan agensi seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan berkaitan berikutan kegagalan PPK memainkan peranan sebagai penghubung dan sebagainya.
Beliau turut memberi jaminan akan terus membawa isu-isu berkaitan pesawah dan petani di Machang ke peringkat lebih tinggi demi membela nasib mereka. – HARAKAHDAILY 19/5/2025











