
SUNGAI PETANI: Kelantan kini sedang melangkah ke arah pencapaian Kelantan Futures States 2033 dengan tempoh masa berbaki hanya lapan tahun.
Segala usaha perlu digembleng secara tersusun dan berstrategi bagi memastikan matlamat yang digariskan dapat direalisasikan walaupun berdepan pelbagai cabaran.
“Pembangunan yang ingin dibina di Kelantan perlu berteraskan prinsip Islam tanpa mengabaikan nilai dan jati diri,’ kata Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan.
Beliau berkata demikian sewaktu berucap di Majlis Townhall Penghayatan Membangun Bersama Islam (PMBI) Pimpinan Kerajaan Negeri Bersama Anak Kelantan Zon Utara, di sini semalam.
“Kemajuan negara Barat sering dipandang tinggi, namun apabila diteliti secara mendalam, terdapat sisi gelap yang tersembunyi.
“Arah tuju pembangunan negeri tidak wajar memisahkan agama daripada kemodenan, walaupun naratif Barat sering mengarah ke situ,” ujarnya.
Menurut beliau, setiap negeri mempunyai laluan pembangunan tersendiri bergantung kepada geografi, sumber dan potensi ekonomi.
Kelantan mungkin tidak menyerlah dalam sesetengah aspek, tetapi memiliki kelebihan besar dalam sektor pendidikan agama.
“Alhamdulillah, sebanyak 93 buah sekolah agama di bawah kelolaan kerajaan negeri telah melahirkan ramai ilmuwan, teknokrat dan pakar yang kini menyumbang di peringkat nasional dan antarabangsa,” ujarnya.
Justeru katanya, tanggapan negatif terhadap negeri ini perlu diperbetulkan dan citra Kelantan harus diperkukuh dengan menonjolkan kekuatan serta pencapaian yang dimiliki.

“Anak-anak Kelantan yang berada di seluruh pelosok negara berkhidmat untuk nusa dan bangsa. Ini menjadi bukti kejayaan sebuah negeri yang membina masa depannya berasaskan ilmu, nilai dan jati diri,” jelasnya.
Hampir 300 orang anak perantau Kelantan serta mahasiswa institusi pengajian tinggi di rantau utara Semenanjung hadir dalam program berkenaan.
“Alhamdulillah, hari ini saya bersama mereka yang menabur budi dan khidmat untuk negeri tercinta,” ujarnya.
Program berkenaan dianjurkan oleh Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri (UPKN), PERAKAN Zon Utara dan Ikatan Mahasiswa Darul Naim (NAIM).
Ini adalah siri pertama yang disusun oleh UPKN daripada enam siri yang telah dirancang bagi menyusun dialog kepada anak-anak perantau mengikut kluster yang ditetapkan.
Bagi zon utara, tajuk townhall yang dipilih adalah Futures State: Kelantan Sejahtera 2033 ‘Pembangunan Ekonomi, Pelaburan & Pelancongan’. – HARAKAHDAILY 19/5/2025











