
DUNGUN: Pemuda PAS diseru agar merebut hati para pengundi muda yang tidak berparti dan tidak mempunyai kecenderungan parti, seru Yang Dipertua PAS Kawasan Dungun, Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli.
“Letakkan satu matlamat, kita hendak dari jumlah pemuda yang ada yang tidak berparti, berapa peratus kita hendak, kita turun ke Pemuda DUN, kita turun ke Pemuda Cawangan,” saran beliau.
Menurut beliau, untuk mencapai perkara tersebut, Pemuda PAS perlu melaksanakan satu tanggungjawab iaitu melakukan gerak kerja penambahan ahli PAS Kawasan Dungun.
“Tetapi bila mereka berdaftar, masukkan mereka ke peringkat Pemuda Cawangan ataupun DUN, kalau mereka ada lagi masa hadapan, mungkin mereka akan menjadi pemimpin PAS di peringkat Pemuda PAS Kawasan Dungun,” ujarnya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Dungun berkata demikian ketika berucap di Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Pemuda PAS Kawasan Dungun Kali Ke 48 di Dewan Majlis Perbandaran Dungun, di sini baru-baru ini.
Sebelum itu, beliau mengingatkan Pemuda PAS Kawasan agar mesti bersatu dengan semua Pemuda DUN agar dapat membentuk kesepaduan fikrah dan gerak kerja.
“Jangan sekali-sekali ada calar kerosakan kerana akan menghilangkan kekuatan Pemuda Kawasan. Realitinya mari kita lihat lima jari kita ini, menggenggam kekuatan sebagai satu penumbuk.
“alau satu daripadanya patah, satu daripadanya tidak berfungsi maka akan hilang kekuatan satu anggota yang dinamakan jari, dihimpun menjadi penumbuk,” kiasnya kepada perwakilan dan pemerhati yang memenuhi Dewan.
Pemuda Kawasan mendapat Ketua Pemuda baharu iaitu Ketua Penerangan sesi sebelum ini yang juga ADUN Sura, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku M Fauzi bagi sesi 2025/2027. – HARAKAHDAILY 18/5/2025












