
TIMBALAN Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Akmal Nasrullah Mohd Nasir dilihat bersikap berat sebelah apabila sering menuding kesalahan kepada Kedah, kononnya kelewatan menyiapkan Loji Rawatan Air (LRA) di negeri itu.
Sebaliknya, beliau berdiam diri tanpa sebarang rungutan mahupun kritikan terhadap kelewatan yang sama berlaku di Pulau Pinang.
Sikap demikian dilihat sengaja ‘mengganggu’ Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berikutan timbalan menteri berkenaan sering mencari ‘kesalahan’ Kedah.
Sedangkan kerajaa negeri itu sedang giat membina dan msnaik taraf lima LRA untuk menyelesaikan kemelut bekalan air bersih yang sudah berpuluh-puluh tahun membelenggu rakyat negeri Jelapang Padi.
Kenyataan Akmal lebih bersifat politik, sedangkan banyak lagi projek kerajaan lain di seluruh negara yang turut mengalami kelewatan, termasuk projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di beberapa negeri.
Bahkan, projek Loji Rawatan Kumbahan Serantau Bayan Baru, Pulau Pinang, Fasa 2 yang di bawah kementerian sama telah diberikan lanjutan masa (EOT) sebanyak 10 kali, menyebabkan kelewatan menjangkau lebih enam tahun.
Sebaliknya, projek LRA Sungai Limau di Kedah hanya diberikan empat EOT sahaja.
Bidas dan sindir Sanusi, kalau di Kedah, timbalan menteri berkenaan mendakwa kononnya susah hati, merajuk dan kecewa, tetapi projek di Pulau Pinang yang diberi EOT 10 kali, mungkin boleh membuatkannya ‘gelak guling-guling’.
“Kena pada Pulau Pinang dia senyap, kalau Kedah dia bising. Tak boleh lah main politik macam tu, ‘be smart’,” bidas beliau.
Berbalas antara Sanusi dan Akmal berkaitan isu LRA sudah beberapa kali berlaku dengan isu tersebut sering dibangkitkan, dengan terkini, Akmal mempertikaikan kelewatan projek LRA Sungai Limau dan Bukit Selambau yang katanya menjejaskan bekalan air kepada rakyat.
Beliau mendakwa kononnya, telah terbengkalai bertahun-tahun, namun bidas Sanusi kelewatan dalam projek kerajaan merupakan perkara biasa memandangkan ia melibatkan pelbagai faktor luar kawalan seperti kenaikan harga barang termasuk kekurangan tenaga kerja dan kelemahan kontraktor.
“Projek tergendala itu normal. Tapi di Kedah jadi tak normal, sebab ada Sanusi. Jika Akmal ingin menangis, menangislah untuk semua projek yang lewat, bukan hanya untuk projek di Kedah sahaja,” sindir Sanusi tetapi memberi makna mendalam.
Timbalan Menteri PETRA itu, bukanlah kali pertama ‘mengkritik’ kelewatan atau apa-apa yang berkaitan pembinaan LRA di Kedah, seolah-olah ‘mencari kesalahan percuma’, kononnya Sanusi tidak cekap mentadbir negeri.
Pembinaan LRA Bukit Selambau dan Sungai Limau sememangnya mengalami sedikit masalah dan perkara itu dalam pengetahuan kerajaan negeri.
Kerajaan negeri juga sedang mencari jalan penyelesaian terbaik melibatkan proses tender semula projek LRA Sungai Limau yang akan dilakukan selepas penamatan kontraktor yang diluluskan oleh PETRA.
Sementara projek LRA Bukit Selambau pula EOT ketiga telah diberikan kepada kontraktor dan tempoh tersebut akan berakhir pada 16 November ini.
Pada Februari tahun lalu, Timbalan Menteri PETRA itu juga telah memberi pandangan salah pada tinjauan kali pertamanya untuk melihat perkembangan pembinaan LRA di Kedah.
Pada ketika itu, Sanusi sudahpun menjelaskan kelewatan pembinaan projek tersebut adalah disebabkan berlakunya peningkatan harga bahan binaan dihadapi oleh kontraktor terbabit.
Bukanlah kerana kelemahan oleh mana-mana syarikat yang diberikan tender atau kerajaan negeri tidak memantau pelaksanaan projek.
Walaupun gesaan agar dibetulkan laporan secara sisi negatif mengenai perkara tersebut yang berbangkit daripada lawatan timbalan menteri tersebut, namun Akmal seolah-olah tidak faham dan masih mengulangi persepsi yang sama berkaitan kelewatan dua LRA berkenaan.
Sedangkan LRA Bukit Selambau ketika dilawati timbalan menteri pada Februari tahun lalu, dilaporkan sudah diberi EOT kerana lewat siap sepertimana yang dijadualkan, atas sebab-sebab tertentu.
Akmal sewajarnya memahami sebelum membuat pelbagai andaian akan kenaikan harga yang berlaku bukan dalam kawalan kerajaan negeri dan peningkatan antara 40 hingga 70 peratus yang dihadapi kontraktor, sebagai sangat tinggi di mana memungkinkan kontraktor gulung tikar.
Malah situasi itu telah menyebabkan kontraktor memohon VOP iaitu syarat perubahan harga untuk menilai semula beberapa item dalam pembinaan itu khususnya besi.
Sungguhpun begitu, Sanusi sebagai Menteri Besar di negeri ini, tidak bersikap berat sebelah sebaliknya menganggap kemungkinan ada laporan yang positif dari timbalan menteri berkenaan berhubung lawatannya, tahun lalu.
“Tak patutlah mai kali pertama di negeri kita mai cari fasal kan? Cakaplah elok-elok. Benda-benda negatif kita cakap dalam mesyuarat, buat teguran, dalam meeting. Kalau tegur secara terbuka dan di’viral’kan secara negatif. Dia akan memberi impak tanggapan orang kepada ‘state’ ni lemah,” ujarnya kesal ketika itu.
Perkara sedemikian juga masih berlaku, memandangkan banyak perkara berkaitan LRA di Kedah ditular Akmal di media sosial termasuk yang terkini.
Dalam pada itu, kerja-kerja pemasangan paip bagi LRA Bukit Selambau setakat Mei ini telah mencapai tahap 30 peratus.
Bagaimanapun, kerja-kerja fizikal itu masih perlahan berbanding jadual sepatutnya dan kerja-kerja pemasangan paip itu perlu disegerakan untuk kemudahan rakyat yang kini berdepan dengan masalah gangguan bekalan air.
Sepertimana, menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar, Mohamad Yusuf@Munir Zakaria, hasil perbincangan dengan pihak kontraktor dilantik, mereka berjanji akan menambah bilangan pekerja dan pasukan yang terlibat dalam projek pemasangan tersebut.
Perkara itu bagi memastikan kerja-kerja pemasangan paip dapat dilakukan dengan lebih cepat.
Projek yang bernilai RM124.9 juta itu dibiayai melalui geran Kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri itu, agak tersasar dari jadual asal, atas sebab-sebab tertentu.
Ia termasuk kenaikan kos harga barang, masalah kontraktor dan lain-lain, namun semua perkara itu di dalam perhatian serta pengetahuan kerajaan negeri. – HARAKAHDAILY 18/5/2025











