Lebih banyak kes dibongkar selepas PH kalah nanti?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kenyataan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim bahawa 1MDB hanyalah satu daripada banyak skandal kewangan bernilai berbilion ringgit yang melibatkan bekas pemimpin, mencetuskan pelbagai reaksi balas di media sosial.

- Advertisement -

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari dalam satu hantaran di Facebook beliau menyatakan persetujuan bahawa memang banyak lagi skandal kewangan lain yang perlu disiasat.

Namun, beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas mempersoalkan komitmen sebenar kerajaan pimpinan Anwar dalam menyelesaikan kes-kes tersebut.

“Berapa tahun yang diperlukan tu? Usia kerajaan ini sudah lebih 2 tahun, tak lama lagi tibalah tempoh pilihan raya umum pula, bila yang nak disiasatnya?” soal beliau.

Ahmad Fadhli merujuk kepada kegagalan kerajaan mengambil tindakan tuntas terhadap skandal-skandal baharu sepanjang tempoh pemerintahannya.

Beliau turut menyindir bahawa selepas Anwar bersara dan tampuk pemerintahan bertukar tangan, senarai kes rasuah serta penyelewengan besar kemungkinan akan bertambah.

Termasuk sinisnya, melibatkan individu tertentu yang kini tiba-tiba hidup mewah dan memegang saham bernilai berbillion ringgit.

“Saya agak sahaja, Dato’ Seri,” sinis beliau menutup kenyataan tersebut, namun dipercayai merujuk individu yang mempunyai hubungan rapat dengan pemimpin nombor satu itu.

Kenyataan Perdana Menteri itu dibuat ketika wawancara bersama Al Jazeera menyebut bahawa beliau kini memiliki lebih banyak maklumat sebagai Perdana Menteri, termasuk pelbagai lagi penyelewengan yang belum diselesaikan selain daripada kes 1MDB.

Rakyat kini menanti bukti kepada kata-kata tersebut, sama ada siasatan menyeluruh akan dijalankan atau sekadar dijadikan bahan retorik politik menjelang pilihan raya.

Komitmen kerajaan terhadap usaha memerangi rasuah turut dipertikaikan oleh banyak pihak, malah laporan Transparency International Malaysia 2024 menunjukkan skor Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia kekal pada paras 46 daripada 100.

Ia tidak menunjukkan banyak perubahan berbanding tahun-tahun sebelumnya, walaupun kerajaan mendabik dada sebagai pelaksana reformasi.

Selain itu, keputusan kontroversi melepaskan beberapa tokoh politik daripada pendakwaan serta kegagalan menyiasat pendedahan berkaitan pemilikan kekayaan luar biasa terus melemahkan keyakinan rakyat terhadap integriti institusi negara. – HARAKAHDAILY 18/5/2025

- Advertisement -