
ALOR SETAR: Lebih 2,000 pendidik berikrar beristiqamah mempertahankan pendidikan Islam serta terus berbakti mempastikan ia terus menerokai pendidikan di persada tanah air.
Ikrar tersebut sempena Himpunan Pendidik Kebangsaan Sambutan Hari Guru 2025, yang diketuai Pengerusi Sektor Pendidikan Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah, Ustaz Shukri Sawai, di sini hari ini.
Bertemakan ‘Guru Murabbi Membina Generasi Rabbani’, program yang diadakan di Kompleks PAS Kedah itu, berjaya menghimpun para pendidik dari pelbagai peringkat sama ada pra-sekolah, rendah, menengah dan kolej, seluruh Malaysia.
Seramai 107 orang mewakili sektor pendidikan masing-masing dinobatkan dengan pelbagai anugerah meraikan pengorbanan dan jasa yang telah dicurahkan kepada masyarakat.
Anugerah tertinggi iaitu Tokoh Pendidik 2025 dianugerahkan kepada Suraini Jantan mewakili PASTI Pusat dan Azuan Ali Aziz (Sekolah Rendah Agama) serta Wan Abu Bakar Wan Mahhussin (Sekolah Menengah Agama).

Manakala Amatullah Hamidah Muhammad Lukman Al-Hakim (Anugerah Khas Pelajar Cemerlang) dan Anugerah Khas pertubuhan NGO kepada Muslim Care Malaysia.
Tokoh Pendidik 2025 juga dinobatkan kepada beberapa tokoh pendidik iaitu Tokoh Pendidik Muda kepada Ustaz Mohd Zarimi Abu Zih Al-Hafiz, Tokoh Pendidik Muslimah kepada Ustazah Salamiah Mohd Nor dan Tokoh Pendidik Sarjana kepada Zainal Abidin Kidam.

Sementara bagi Anugerah Tokoh Pendidikan Masyarakat diungguli oleh Tuan Guru Sidek Noor dan Tokoh Tuan Guru Pondok kepada Tuan Guru Johari Morad, serta Tokoh Pendidik Ummah kepada Almarhum Tuan Guru Yahaya Junid.
Anugerah berkenaan disampai oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Selain itu, 32 orang daripada Jabatan PASTI, 29 orang daripada Sekolah Rendah Agama dan juga 29 orang mewakili Sekolah Menengah Agama juga menerima anugerah disampaikan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudden.
Sementara enam anugerah penghargaan diberikan kepada institusi pengajian di bawah entiti PAS iaitu TASTI, ILHAM, APSA, KUDQI, KUIZM dan KIDU disampaikan oleh Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan.
Majlis perasmian penutup disempurnakan oleh Menteri Besar Kedah dan sekali gus melancarkan gimik perasmian.
Dalam pada itu, Bendahari PAS Kedah, Dato’ Ustaz Mohd Azam Abd Samat, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidik Negeri Kedah, turut menyampaikan ucapan aluan.
Majlis yang bermula seawal 9:00 pagi, dimulakan dengan ucapan aluan Timbalan Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat, Ustaz Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi, yang juga mewakili PAS Kedah, selaku tuan rumah.
Para pendidik juga menerima suntikan motivasi dari ucapan penuh semangat Ustaz Afnan Hamimi yang dijemput khas, sebelum ucaptama yang disampaikan oleh Dato’ Dr Mohamed Fadzli.
Dalam pada itu majlis juga dihiburkan dengan persembahan menarik yang disampaikan oleh para pelajar PASTI Kawasan Padang Serai dan pelajar SMITI At-Taqwa, Sungai Bongkok, Gurun.
Beberapa hadiah cabutan bertuah berupa pakej menunaikan umrah turut ditawarkan kepada para hadirin yang bertuah.
Dalam pada itu, Sanusi turut berbesar hati menyumbang dua hadiah cabutan bertuah yang juga merupakan pakej menunaikan umrah.
Majlis turut dihadiri wakil-wakil dari PAS Pusat, Dewan Pemuda dan Muslimat PAS Pusat. – HARAKAHDAILY 17/5/2025












