Perlis ke arah negeri industri semikonduktor

Mohd Shukri menyampaikan ucapan (Foto: Istana Perlis)
- Advertisement -

ARAU: Perlis kini melangkah ke fasa baharu pembangunan ekonomi apabila terlibat secara langsung dalam sektor perkilangan semikonduktor, menjadikannya antara negeri berpotensi muncul sebagai destinasi pelaburan global dalam industri bernilai tinggi.

- Advertisement -

Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli menyatakan demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Negeri Perlis bersempena Ulang Tahun Keputeraan ke-82 Raja Perlis di Istana Arau, di sini hari ini

“Perlis kini terlibat secara langsung dalam sektor perkilangan semikonduktor pastinya akan membuka peluang pekerjaan kepada golongan muda selain berpotensi menjadi destinasi pelaburan global dalam masa terdekat,” ujarnya.

Tambah beliau, usaha ini akan dipacu melalui langkah-langkah agresif untuk mewujudkan ekosistem yang kondusif bagi menarik lebih ramai syarikat bertaraf multinasional, dengan menjadikan pembukaan kilang Jabil Sdn Bhd sebagai pemangkin utama.

“Kerajaan negeri amat yakin dengan pengoperasian kilang Jabil Sdn Bhd ini akan menjadi pemangkin serta game changer kepada pembangunan industri di Chuping Valley Industrial Area (CVIA),” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Shukri turut memaklumkan bahawa satu lagi projek berimpak tinggi akan mula beroperasi tahun ini iaitu Perlis Inland Port (PIP), di samping pembangunan institusi pendidikan teknikal UniKL-ASTI yang akan memasuki fasa pembinaan.

Menyingkap pembangunan sosioekonomi negeri jelasnya, Perlis telah berjaya mencatat sifar miskin tegar sejak September 2024, dengan angka kemiskinan menurun dari 15,114 orang pada Januari 2025 kepada 11,820 orang pada bulan ini.

Kerajaan negeri turut memanfaatkan program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) di bawah Kementerian Ekonomi, menjadikan Perlis sebagai negeri kedua tertinggi penyertaan selepas Sabah dengan 669 peserta melibatkan keluasan tanah 706 ekar.

Selain itu, ekonomi negeri turut menunjukkan perkembangan positif apabila merekodkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) berjumlah RM6.3 bilion pada 2023, meningkat 2.1 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Sektor pertanian pula mencatatkan nilai tambah sebanyak RM1.10 bilion dengan pertumbuhan 4.1 peratus hasil peningkatan dalam subsektor tanaman, perikanan dan ternakan, menjadikan sektor ini penyumbang kedua tertinggi kepada KDNK negeri.

Sektor pelancongan yang semakin berkembang turut menjadi pemangkin kepada pertumbuhan sektor perkhidmatan, apabila bilangan pelawat domestik meningkat kepada 2.99 juta pada tahun 2024, dengan sasaran 3.5 juta pelancong pada tahun ini.

“Peningkatan dalam sektor pelancongan ini telah memberi impak besar kepada subsektor lain seperti penginapan, makanan dan minuman, pengangkutan, perkhidmatan perniagaan serta perkhidmatan kesihatan dan pendidikan,” ujarnya.

Rekod menunjukkan sektor penginapan mencatatkan pertumbuhan 22.8 peratus pada 2023 manakala subsektor makanan dan minuman meningkat sebanyak 1.8 peratus.

Kedua-dua subsektor ini menyumbang sebanyak 5.4 peratus kepada keseluruhan sektor perkhidmatan.

Mohd Shukri turut menyatakan hasrat untuk melanjutkan Tahun Melawat Perlis bersekali dengan Tahun Melawat Malaysia pada 2026 bagi mengekalkan momentum pelancongan yang memberangsangkan.

Dalam ucapannya juga, beliau menjunjung kasih atas keprihatinan Raja Perlis dan Raja Perempuan Perlis terhadap rakyat, khususnya dalam aspek kesihatan, keharmonian dan keselamatan.

“Tahun 2025 cukup bersejarah bagi negeri Perlis, kerana kita telah dan sedang bersama meraikan Sambutan Jubli Perak, menandakan genap 25 tahun pemerintahan DYMM Raja Perlis,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 17/5/2025

- Advertisement -