
ARAU: Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail menzahirkan teguran tegas kepada segelintir penjawat awam yang didapati mementingkan diri serta tidak mengutamakan tanggungjawab kepada rakyat.
Baginda menerima banyak maklumat dan pengalaman mengenai cara kerja penjawat awam yang tidak memuaskan dan mengabaikan amanah di mana perubahan perlu dilakukan segera sebelum individu terlibat dikenakan tindakan.
“Ada penjawat awam yang pentingkan diri daripada rakyat, berkira waktu kerja untuk minta tolong di pejabat. Patut tukar cara kerja, segelintir inilah yang akan merosakkan penjawat awam,” titah baginda
Penegasan itu dititahkan ketika menyempurnakan Sambutan Ulang Tahun Keputeraan ke-82 yang berlangsung di Balairong Seri, Istana Arau di sini hari ini.
Sambutan rasmi ini merupakan yang pertama selepas beberapa tahun ditangguhkan berikutan tempoh rawatan dan rehabilitasi dilalui oleh baginda.
“Saya dapat banyak maklumat dan ada pengalaman cara mereka bekerja, bukan tak boleh tukar sebelum mereka ditukarkan. Tak patut berlaku di kalangan penjawat awam.
“Tukar perangai ikut contoh yang baik oleh sahabat tuan-tuan yang baik, orang yang terlibat tu faham maksud saya. Saya nak Perlis maju seperti negeri lain,” titah baginda lagi.
Baginda menegaskan bahawa Perlis memerlukan jentera pentadbiran yang cekap dan berintegriti untuk memastikan kemajuan negeri berjalan lancar serta dapat menyumbang secara langsung kepada kesejahteraan rakyat.
“Supaya jentera boleh tolong bawakan pembangunan ke negeri Perlis. Perbetulkan waktu bekerja. Orang terlibat sikit tapi merosakkan nama negeri. Tukar cara kerja sebelum ditukarkan,” titah Tuanku dengan nada tegas.
Perkukuh pembangunan dan kesatuan ummah
Dalam ucapan berkenaan, Tuanku turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh kepimpinan negeri dan rakyat yang telah menjayakan Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Baginda pada 17 April lalu, serta segala program sempena sambutan tahun ini.
“Sambutan Hari Keputeraan Beta bukan sekadar satu acara simbolik, tetapi merupakan satu detik untuk kita sama-sama menilai dan merenung pencapaian serta cabaran yang telah kita hadapi bersama,” titah baginda lagi.
Tuanku menyatakan keyakinan terhadap perkembangan sektor industri di negeri ini, khususnya melalui pengoperasian Perlis Inland Port (PIP) dan pelaburan di Kawasan Industri Lembah Chuping (CVIA) yang dijangka akan memacu pertumbuhan ekonomi negeri.
Pelabuhan Sanglang turut disebut sebagai pelengkap kepada usaha menjadikan Perlis sebagai hab pengangkutan kargo darat dan laut, serta sektor pertanian dan pelancongan juga akan terus diperkasa bagi menjana ekonomi rakyat di pelbagai lapisan.
Tuanku turut menekankan pentingnya kestabilan moral dan keharmonian sosial berasaskan nilai-nilai agama dan budaya masyarakat berbilang kaum.
“Beta menyeru kepada semua rakyat untuk mempertingkatkan tali persahabatan dan percampuran dalam kalangan masyarakat majmuk melalui pelbagai aktiviti seperti gotong-royong, sukan dan kunjungan rumah terbuka,” titah baginda.
Baginda mengingatkan agar elemen-elemen negatif yang mengganggu keharmonian ditolak sebulat suara, sebaliknya budaya saling memahami dan menghormati perlu digalakkan di semua peringkat masyarakat.
Tuanku juga menasihati rakyat agar bersiap siaga dengan sebarang perubahan mendatang dalam pelbagai aspek termasuk ekonomi, sosial dan iklim dunia yang semakin tidak menentu. – HARAKAHDAILY 17/5/2025











