
ALOR SETAR: Pendidik sejati adalah golongan yang memimpin manusia menuju Allah, disamping membimbing murid menjadi golongan Rabbaniyin, demikian jelas Dato’ Dr Mohamad Fadzli Hassan, di sini.
Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat itu juga menerangkan, Rabbaniyin adalah insan yang sentiasa mendalami ilmu, mengamalkannya dengan ikhlas, serta menyampaikan kebenaran hanya kepada Allah.
“Guru Rabbani tidak sekadar menyalurkan ilmu, tetapi membentuk jiwa murid agar menjadi hamba Allah yang berilmu, beramal dan beradab, serta meletakkan ilmu sebagai jalan mendekatkan diri kepada-Nya.
“(Bukan) pula menjadi alat untuk kesombongan atau memperhambakan manusia kepada manusia,” tegas beliau yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan.
Walaupun ujarnya, Falsafah Pendidikan Kebangsaan telah merakamkan aspirasi luhur berteraskan kepercayaan kepada Tuhan dan akhlak mulia, namun realitinya masih banyak cabaran perlu diatasi dan PAS bersedia menawarkan solusi konkrit.
“Hari ini, saya ingin mengupas tiga fokus utama iaitu Kurikulum Pendidikan Rabbani dalam Konteks Malaysia, Persiapan Strategik bagi Generasi Masa Depan di negeri-negeri SG4, dan Peranan Institusi Pendidikan PAS dalam Membina Generasi Pimpinan Masa Depan,” tambah beliau.
Dato’ Dr Mohamad Fadzli berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Perhimpunan Pendidik Kebangsaan dan Sambutan Hari Guru 2025, PAS Pusat, di Kompleks PAS Negeri Kedah, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, katanya, Pendidikan Kaffah Rabbani merupakan rujukan penting bagi menyelaras hala tuju semua institusi pendidikan PAS di setiap peringkat.
Malah hurainya lagi, Falsafah Pendidikan Kaffah Rabbani, juga memberi penekanan usaha berterusan secara holistik dan saintifik dalam menyuburkan fitrah manusia berteraskan prinsip iman, Islam dan ihsan bersumberkan Al-Quran dan Al-Sunnah.
“Semuanya itu bagi membangunkan insan soleh pintar yang berilmu dan beramal, berakhlak mulia, berintegriti, memiliki jati diri serta menguasai teknologi semasa ke arah pembentukan generasi Rabbani yang memimpin ummah menuju keunggulan tamadun dan kesejahteraan dunia dan akhirat,” katanya lagi.
‘Ilmu Bermatlamatkan Allah’ juga jelasnya satu keutamaan bagi menjamin maqasid syariah seperti memelihara agama, jiwa, akal, keturunan dan harta, menjadi teras dalam kurikulum.
Beliau juga menambah, falsafah yang menekankan paduan di antara ilmu naqli dan aqli serta budi pekerti mulia menjadikan anak-anak didik tidak hanya menghafal fakta, tetapi memahami hikmah di sebaliknya, serta membentuk akhlak mulia.
“Matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan juga menegaskan keseimbangan rohani dan akhlak, tetapi kurikulum kebangsaan lebih banyak bercakap soal literasi, STEM, peperiksaan dan kesediaan ekonomi.
“Kurikulum kebangsaan kadangkala kelihatan tersekat dari nilai-nilai keagamaan, malah pendekatan Barat yang memisahkan agama dari urusan manusia telah pun meresap ke dalam sistem kita.
“Sebagai contoh, Timbalan Mursyidul Am PAS, sewaktu menjadi Menteri Besar Kelantan pernah menegaskan di dalam Majlis Pelancaran Dasar Pendidikan Rabbani, bahawa cabaran besar pendidikan di Malaysia adalah model Barat yang telah memisahkan Tuhan dengan urusan manusia,” hurainya lagi.
Oleh itu kata beliau, PAS melihat keperluan memperkenalkan kurikulum Rabbani secara lebih berani, di samping bersetuju sekiranya sukatan pengajian Al-Quran, Hadith dan Maqasid Syariah di sekolah kebangsaan dimantapkan khususnya modul-modul berteraskan ukhrawi.
Pendidikan Rabbani tegasnya juga, mengajar anak bangsa memahami bahawa alam, sains dan peradaban adalah kurniaan serta tanda kebesaran Allah di mana ilmu-ilmu duniawi dikaji bersama pemahaman bahawa semua kejadian bertujuan mengingatkan manusia kepada Pencipta.
Sejajar dengan itu ujar beliau, ia akan menghasilkan graduan yang tidak hanya berilmu pengetahuan semata-mata, tetapi berilmu dengan matlamat akhirat.
“Pada Sidang Kemuncak SG4, 2 September tahun lalu telah memeterai satu peristiwa bersejarah yang menjadikan Pendidikan dan Modal Insan sebagai tunjang utama transformasi SG4.
“Malah ia juga menjadi tulang belakang yang akan memacu kekuatan SG4 sebagai contoh model negeri Islam yang memimpin tamadun dan membina negara.
“Oleh itu, kita yakin, tanpa asas pendidikan Rabbani yang menyeluruh, tanpa modal insan yang berilmu, berakhlak dan berdaya saing, tidak akan wujud pembangunan ekonomi, sosial atau budaya yang benar-benar mampan.
“Dalam masa yang sama kita menolak pembangunan tanpa nilai iaitu pembangunan yang hanya menjana GDP tanpa membina insan,” tegas beliau panjang lebar.
Berikutan itu Timbalan Menteri Besar Kelantan itu berkata, Bengkel Kluster yang telah mewujudkan mempunyai dua matlamat besar iaitu memantapkan ekosistem pendidikan yang komprehensif, holistik dan berdaya maju.
Selain, meningkatkan ketersediaan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang berakhlak, Rabbani, serta berdaya saing global.
“SG4 juga telah menubuhkan Jawatankuasa Pendidikan dan Modal Insan SG4, yang digerakkan oleh para Exco dan tokoh pendidikan negeri, bagi memutuskan untuk mengintegrasikan unsur Rabbani dalam semua polisi pendidikan negeri SG4,” kata beliau lagi.
Selain itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temangan itu juga menegaskan, sistem pendidikan Malaysia dikawal selia oleh Kementerian Persekutuan, dengan kebanyakan kurikulum dan pembiayaan ditetapkan di peringkat pusat.
Sementara negeri-negeri SG4 pula katanya, tidak memiliki autonomi sepenuhnya untuk mengubah kurikulum kebangsaan.
Sungguhpun begitu, baginya realitinya kini, kerajaan negeri yang diterajui PAS telah berperanan membantu Kerajaan Pusat bagi menampung keperluan Pendidikan Negara.
Gandingan antara kerajaan negeri dan komuniti juga juga jelasnya, menjadi kekuatan di mana kerajaan memberi ruang selesa dan mesra kepada inisiatif pendidikan rakyat, sementara NGO, masjid dan individu dermawan turut digerakkan menyediakan bangunan dan fasiliti tanpa membebani bajet negeri.
“Kerajaan negeri menyediakan sokongan minimum seperti lesen, guru sukarela, fasiliti asas dan lain-lain, sementara masyarakat menggerakkan usaha pembinaan sekolah agama,” ujar beliau.
Secara tidak langsung, Dato’ Dr Mohamad Fadzli mengakui PAS sememangnya memainkan peranan yang cukup baik khususnya sektor institusi pendidikan.
PAS juga tegasnya mempunyai rangkaian institusi pendidikan yang lengkap bermula dari peringkat tadika hinggalah ke universiti.
Dalam pada itu, PAS juga katanya, memainkan peranan kritikal dalam mempersiapkan generasi pelapis terutama mengendalikan rangkaian Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) yang terbesar di negara ini.
“Menurut data Dewan Pemuda PAS, terdapat 2,680 PASTI dengan 139,091 murid dan 9,002 guru di seluruh Malaysia. Ini menjadikan PASTI bukan sekadar tadika biasa, tetapi institusi pra-sekolah Islam utama yang menanam nilai keagamaan sejak awal usia.
“Kemasukan anak-anak ke dalam suasana belajar yang dipenuhi ibadah solat, zikir, membaca Al-Quran di PASTI meletakkan asas akhlak dan intelek anak-anak agar matlamat pencarian ilmu, kebahagiaan dunia dan akhirat, tercapai,” tambahnya lagi.
Selepas PASTI, PAS ujarnya memperkenalkan Taman Asuhan Tunas Insan (TASTI) di bawah Dewan Muslimat PAS untuk kanak-kanak bawah tiga tahun, sebagai pra-tadika.
Justeru tegasnya, realiti PAS menyediakan rangkaian pendidikan berterusan bermula TASTI, diikuti PASTI, seterusnya di peringkat rendah SRITI, menengah pula SMITI, hingga ke peringkat tertinggi kolej dan universiti.
“Secara keseluruhannya, terdapat 154 SRITI di seluruh Malaysia dengan 23,972 murid dan 2,422 guru. Begitu juga 15 SMITI yang beroperasi dengan 490 pelajar,” maklum beliau.
Dalam pada itu, kata beliau lagi, Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) di Wilayah Persekutuan, Kolej Universiti Darul Quran Islamiyyah (KUDQI) di Terengganu, dan Kolej Islam Darul Ulum (KIDU) di Kedah merupakan kampus pendidikan yang ditawarkan PAS dengan memberi fokus kepada syariah, tahfiz, ekonomi Islam dan pendidikan Islam.
“Dengan wujudnya IPT PAS, para pelajar berpeluang melanjutkan pengajian tinggi dalam persekitaran Islam yang kondusif, sekali gus menghasilkan graduan yang bukan saja ilmuan tetapi juga berakhlak mulia serta komited terhadap pembangunan ummah.
“Impian PAS adalah agar satu hari nanti kita memiliki universiti sendiri untuk meneruskan kesinambungan sistem pendidikan atau tarbiah sepanjang hayat yang bermula dari TASTI,” tambahnya lagi.
Justeru pendidikan adalah amanah besar untuk melahirkan generasi masa depan, katanya PAS menyerahkan semangat dan idea agar sistem pendidikan negara tidak ketinggalan dengan arus global, serta menjadi teras pembangunan ummah. – HARAKAHDAILY 17/5/2025












