
ALOR SETAR: Tiada parti di dalam Malaysia yang ahlinya bekerja sebagai guru di institusi pendidikan dibina oleh partinya sendiri melainkan PAS, demikian kata Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, di sini.
Menurut beliau, dalam parti lain, walaupun terdapat ahlinya bekerja sebagai guru, tetapi mengajar di sekolah lain, bukan sekolah yang dibina oleh parti itu.
“Sebab itu jangan hairan kalau dalam PAS ini ada satu kumpulan bekerja sebagai guru yang berkhidmat di institusi pendidikan tajaan PAS. Nak banding PAS dengan parti lain di Malaysia ni memang tak boleh.
“Daripada pra-sekolah, sudah ada PASTI. Empat tahun dah masuk sekolah. Sebab tu orang PAS semua cerdik-cerdik,” kata beliau yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat dan Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah.
Amat berbeza ujarnya, PAS dengan parti lain yang lebih memandang ke hadapan berbanding parti yang sinisnya asyik bergaduh dan berkelahi sehingga tua.
Kata Sanusi lagi, parti yang ada rangkaian institusi pendidikan dari setiap peringkat hinggalah ke kolej hanyalah PAS di negara ini.
Tidak kira katanya lagi, ketika menjadi kerajaan atau tidak, premis institusi pendidikan PAS tetap beroperasi serta hidup subur malah mendapat sambutan memberangsangkan.
“Belum jadi kerajaan peringkat pusat lagi pun, sudah merata proses pendidikan, tarbiyah bermula seawal empat tahun dilaksanakan PAS.
“Ada pihak nak buat kajian ‘taik minyak’ apa tak tau. Tubuh pula jawatankuasa peringkat kementerian, nak kaji PASTI. Hantaq (hantar) anak hampa (kamu,) ngaji PASTI, hampa tau la PASTI tu apa.
“Tubuh jawatankuasa buat perabis duit. Hantar mai anak ke PASTI, bila makan nasi mula nak suap, anak baca doa dulu, itu produk PASTI.
Semua pakat tiru,” bidas beliau.
Sanusi berkata demikian ketika merasmikan majlis penutup Himpunan Pendidik Kebangsaan, Sambutan Hari Guru 2025, di Kompleks PAS Kedah, di sini hari ini.
Mengulas lanjut ujarnya, pendidikan ini merupakan antara agenda PAS di jalur tarbiyah yang sekiranya hendak dibanding dengan fahaman dan kerangka politik parti lain memang jauh berbeza.
“Kalau cara dan amalan politik mereka, takkan sampai bagaimana orang PAS berpolitik. Dalam PAS siapa nak jawatan, awal lagi dah tak layak, siapa yang pulun (bersungguh) berebut nak jawatan, yang tu ‘siang-siang’ lagi dah tak layak.
“Simple saja prinsip kita, sebab berpedomankan Al-Quran, Hadis, Ijmak Ulama dan Qias, Tak payah dok ceramah panjang, bergaduh riuh rendah, siapa yang gila nak jadi ketua, hang tak layak,” tegasnya
PAS katanya, mahukan orang-orang yang ada kualiti serta ikhlas sehingga ada pihak tertentu menggelarkan ahli-ahli PAS sebagai ‘walaun’ kerana walak kepada arahan dan keputusan pemimpin.
“Depa (mereka) tak boleh lawan kita, depa gelar kita ‘walaun’ Alhamdulillah, daripada perkataan walak. Ada pula kawan-kawan kita kata pulak depa ‘walanon’. Kita tak kisah, gelar pi apa pun.
“Tengok himpunan kami, sempena hari guru, buat di Kedah, mai merata ceruk, dok kipas panas, tapi tak lari pun. Tak buat di hotel besar-besar, buat di markas kita.
“Markas ni ambil masa 20 tahun, akhirnya siap, boleh buat program besar di sini, semua sumbangan ahli PAS. Duit kerajaan sekupang pun tak dak di sini,” kata beliau penuh semangat.
Justeru kata beliau lagi, memang sukar sekiranya hendak bandingkan, ahli PAS yang ditarbiyah dengan orang-orang berfikiran sekular yang hidup untuk mencari kebendaan, kedudukan, pangkat dan jawatan.
Namun kata Sanusi, perkara tersebut tidak menjadi masalah
kepada PAS selagi mana ahli-ahlinya memegang asas asal yang ada dalam parti itu.
Dalam pada itu, beliau turut berkongsi pengalaman berkenaan sebuah syarikat yang mengadakan program kebajikan pada bulan Ramadan lalu.
“Syarikat itu, bukan ahli PAS pun, tapi sumbang duit raya sebanyak RM180,000 kepada guru-guru institusi pendidikan PAS. Selain itu bantu pula orang-orang miskin di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah.
“Baru-baru ini mereka datang jumpa saya, bagitahu, sejak mereka fokus kepada program-program kebajikan macam tu, berlaku sejarah dalam syarikat mereka, masuk keuntungan bertimbun-timbun mencecah RM60 juta.
“Jadi siapa yang nak syarikatnya maju jaya, dermalah kepada PAS. Derma kat cikgu-cikgu ini pun tak apa. Panggil mereka berhimpun, bagi saja,” tambah beliau.
Dalam masa yang sama beliau mengakui, sekiranya hendak mengukur kebahagian dari segi wang ringgit, guru-guru di sektor pendidikan PAS ini pendapatannya memanglah kecil.
Sungguhpun begitu ujarnya, perkara itu tidak mengekang mereka hidup gembira dan bahagia, malah lebih bahagia berbanding yang bekerja di sektor lain gaji berlipat ganda.
“Kita dididik dengan cukup dan syukur dengan apa yang ada, orang yang terlibat dengan kita dan tak dapat tarbiyah dari murabbi kita, depa ligan dunia, umur 60 tahun masih bina rumah banglo lagi. Siap rumah, dia pun mati,” kata berbaur rasa kesal.
Selain itu beliau mewakili kerajaan negeri dan rakyat Kedah, dengan ikhlas hati merakamkan jutaan terima kasih, kepada Lajnah Pendidikan PAS Pusat yang memilih Kedah sebagai tuan rumah.
“Mana-mana yang terkurang pintanya janganlah menjadi penyebab tidak lagi berkunjung ke Kedah, apatah lagi sempena Tahun Melawat Kedah (TMK) 2025, pelbagai perkara disediakan kepada pengunjung.
“Ada orang kata tak ada apa-apa di Kedah ni, tapi kita boleh tengok ramai yang jawab di Kedah ni ada macam-macam, pakat dok tunjuk di media sosial masing-masing. Ni tandanya orang pakat sayang kat Kedah,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu ulasnya lagi, Kerajaan Persekutuan sewajarnya berterima kasih kepada PAS, kerana belanjakan wang sendiri untuk mengurus sekolah yang perlukan perbelanjaan tinggi.
“Sekupang pun tiada peruntukan Kerajaan Persekutuan, semua duit kita sendiri. Kalau kita tak buat, mereka kena buat, duit mereka habis juga perlu dibelanjakan.
“Kita telah bantu negara, belanja duit sendiri buat sistem pendidikan, gajikan guru-guru, dan kesemuanya atas duit sendiri. Sepatutnya semua pihak jadikan PAS ini sebagai kawan bukan musuh.
“Yang dengki kat kita kenapa, bukan hampa yang kena keluar belanja. Patut ucap terima kasih kepada PAS. Guru-guru ini sanggup terima gaji murah sedangkan mempunyai kelayakan akademik yang tinggi.
“Patut beri penghargaan kepada PAS, lahirkan ribuan orang-orang baik setiap tahun,” tegasnya.
Katanya lagi, beliau tidak dapat bayangkan bagaimana generasi membesar dan apa yang berlaku kepada negara tanpa sumbangan PAS kepada institusi pendidikan.
“Kerana malu alah, takut dan segan dengan PAS, Malaysia dapat membangun dengan acuannya sendiri. Oleh itu, saya harap, semua yang ada ini dapat memperkukuhkan kekuatan dan istiqamah walaupun sebelum ini kita dilanda dengan ujian yang mencabar.
“Berdiri di atas jalan yang benar, walaupun terpaksa bersusah payah,” kata beliau lagi. – HARAKAHDAILY 17/5/2025











