
KANGAR: Dewan Muslimat PAS Negeri Perlis menyatakan sokongan sepenuhnya terhadap langkah berani Kerajaan Negeri Perlis mengharamkan penjualan vape bermula 1 Ogos 2025.
Ketua Muslimat PAS Perlis, Norshahirah Mat Salleh berkata, keputusan tegas ini adalah bukti keprihatinan kerajaan negeri dalam memelihara kesihatan rakyat, khususnya menangani ancaman ketagihan nikotin yang kian membarah dalam kalangan generasi muda.
“Langkah berani ini adalah satu tindakan tepat dan bertanggungjawab demi melindungi kesihatan awam, khususnya generasi muda yang semakin terdedah kepada bahaya penggunaan rokok elektronik,” ujarnya.
Dewan Muslimat PAS Perlis turut merujuk kepada pelbagai data kesihatan dan laporan semasa yang menunjukkan peningkatan mendadak kes penggunaan vape dalam kalangan remaja dan pelajar sekolah.
Peranti ini, ujarnya, walaupun sering dipromosi sebagai alternatif ‘kurang bahaya’ berbanding rokok konvensional, terbukti mengandungi nikotin yang tinggi dan boleh menjerumuskan pengguna kepada ketagihan serius.
“Penggunaan vape ini bukan sahaja menjadi pintu masuk kepada ketagihan nikotin, tetapi juga membuka jalan kepada gejala sosial lain yang lebih besar.
“Ia menjejaskan tumpuan pelajaran, prestasi akademik serta menjauhkan anak muda dari gaya hidup sihat dan produktif,” jelas Norshahirah.
Sokongan padu gerakan wanita Islam
Sebagai sebuah gerakan wanita Islam yang sentiasa prihatin terhadap pembangunan insan dan kesejahteraan keluarga, Dewan Muslimat PAS melihat dasar pengharaman ini sebagai satu usaha jangka panjang yang sangat strategik.
“Ini bukan sekadar isu kesihatan, tetapi juga soal maruah dan masa depan anak bangsa. Kita tidak boleh berkompromi dalam hal yang melibatkan kesejahteraan generasi akan datang.
“PAS menyokong dasar ini sepenuhnya kerana ia selari dengan prinsip Islam yang menolak mudarat dan menjaga maqasid syariah,” tegas beliau.
Norshahirah turut menyeru agar semua pihak memainkan peranan masing-masing dalam menjayakan pelaksanaan dasar ini.
Ibu bapa, guru, Badan Bukan Kerajaan (NGO), pengusaha premis perniagaan dan pihak penguat kuasa diminta agar bertindak bersama bagi memastikan larangan ini benar-benar efektif dan difahami oleh rakyat.
“Tanpa kesedaran masyarakat, sebarang dasar tidak akan memberi kesan yang optimum. Oleh itu, pendidikan, advokasi dan tindakan penguatkuasaan mestilah digerakkan secara serentak dan bersepadu,” katanya lagi.
Pihaknya turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Perlis atas keberanian dan keprihatinan yang ditunjukkan.
“Kita harap agar negeri-negeri lain turut menjadikan keputusan ini sebagai inspirasi dan permulaan kepada gelombang kesedaran nasional dalam isu pengawalan rokok elektronik,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 16/5/2025











