Hina jaga trafik: Ini jawapan Jabatan Amal PAS kepada Rafizi

Jabatan Amal sedia melakukan sebarang tugas dengan disempurnakan secara ikhlas
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dalam Jabatan Amal Malaysia wujud sebuah unit dipanggil Kor Trafik dan Lalulintas (KDL) terdiri daripada anggota Jabatan Amal yang sudah mengikuti Kursus Latihan Trafik dan Lalulintas atau pun Kursus Asas Kemahiran Amal (KAKA) 1.

- Advertisement -

Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Pelapis Jabatan Amal Malaysia, Shehdi Hazrik Shamsudin, berkata kewujudan kor itu adalah bertujuan bagi membantu mana-mana pihak bagi memastikan kelancaran perjalanan trafik lalulintas dan tempat letak kenderaan.

“Khususnya program dalaman PAS, termasuk himpunan, ceramah-ceramah pilihan raya dan seumpamanya. Tugasan utama Kor TDL ini adalah; pertama, bertanggungjawab dalam segala tugas dan operasi melibatkan trafik dan lalulintas.

“Kedua, memberikan khidmat nasihat dari sudut peralatan, kelengkapan, keperluan dan kepakaran mengurus trafik dan lalulintas kepada semua Ahli Lembaga Pengarah dan memastikan semua operasi, program dan aktiviti jabatan dapat dilaksanakan dengan baik dan lancar.

“Ketiga, merancang, menyelaras dan melaksanakan program atau aktiviti atau kursus atau latihan dari kepelbagaian ilmu bidang trafik dan lalulintas bagi pihak Jabatan Amal Malaysia di seluruh negeri di Malaysia.

“Keempat, membantu dalam pelbagai jenis latihan yang berkaitan untuk anggota dalam bidang tugasan trafik dan lalulintas,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, adalah menjadi kesalahan jika terdapat mana-mana anggota JAM yang bertugas trafik, namun belum atau tidak mengikuti lagi mana-mana kursus Trafik Lalulintas atau KAKA1.

“Arahan dan peraturan ini bagi mengelakkan sebarang insiden atau kemalangan yang tidak diingini akibat tidak keupayaan dan ketiadaan ilmu dalam melaksanakan tugasan penting JAM,” katanya.

Menurutnya, sebagai pasukan beruniform sukarelawan kemanusiaan, disiplin ilmu menjadi tunjang dan keutamaan JAM agar setiap pekerjaan atau operasi dilaksanakan diredhai Allah serta mengikut tahap piawaian dikehendaki oleh pihak berkuasa serta tidak melanggar sebarang syarak.

“Dalam PAS, pemuda mereka ditarbiyah untuk mencubit sedikit ilmu dari tepian jalan ini kemudian berkhidmat dalam mana-mana misi kemanusiaan agar mereka sedar diri mana asal mereka, sehinggalah mereka mampu melangkah gagah menjadi pimpinan berada di atas pentas ceramah berpidato.

“Sekalipun mereka dipilih Allah berjaya menjadi pemimpin negara ini, maka mereka tidak akan kekok menyantuni rakyat marhaen di bawah sana. Begitulah tarbiyah dan dakwah dalam gerakan siyasah PAS yang ada dalam jemaah Islam terbesar di negara ini,” katanya.

Ketua Penerangan PAS Negeti Selangor, Zurk Ahmad dalam pada itu membalas kritikan sebuah video yang menyifatkan kerja menjaga trafik atau parking sebagai pekerjaan ‘hina’ dan tiada masa depan.

Beliau berkata, kenyataan itu bukan sahaja angkuh, malah memperlekehkan ribuan anak muda yang secara sukarela berkhidmat dalam pelbagai gerak kerja masyarakat.

“Saya sendiri memulakan penglibatan dalam kerja jemaah PAS melalui Jabatan Amal Malaysia. Tugasan awal saya? Jaga parking. Ya, jaga trafik untuk program-program PAS sama ada berskala kecil atau besar.

“Di sinilah saya mula belajar erti tanggungjawab, kepimpinan, pengurusan dan paling penting.. wala’ serta ketaatan terhadap arahan pimpinan. Nak urus parking bukan kerja main-main.

“Ia memerlukan perancangan strategik, penyusunan logistik, penyelarasan pasukan, serta komunikasi berkesan. Ia adalah latihan asas dalam kepimpinan dan pengurusan sebenar,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Zurk menegaskan bahawa ramai anggota PAS yang bermula dari bawah sebagai petugas trafik, keselamatan, atau kebajikan yang kini memegang jawatan penting dalam parti, malah pentadbiran kerajaan.

“Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli mungkin tidak faham nilai ikhlas berkhidmat kerana terlalu lama berkira-kira soal keuntungan dan kerugian.

“Bagi kami di dalam PAS, berkhidmat adalah satu kemuliaan dan tiada pekerjaan yang hina, melainkan sikap angkuh terhadap kerja orang lain. Berpadalah,” katanya.

Terdahulu, Rafizi Ramli menghina tindakan seseorang yang menjaga trafik dan menyatakan bahawa beliau tidak pernah melibatkan diri dalam tugas itu dalam ucapannya pada Jelajah HIRUK Zon Melaka dan Negeri Sembilan di Seremban, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Rafizi berkata, menjaga trafik bukanlah suatu tugas mulia dan lebih baik seseorang itu terlibat dalam peranan lain yang lebih dihormati seperti menjadi penceramah atau peranan lain lebih tinggi.

“Tapi saya tak pernah buat, saya tak pernah jaga trafik. Mulia sikit.. trafik ni hina betul. Paling kurang jadi penceramah.. bidan terjun. Tak adalah jaga trafik,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/5/2025

- Advertisement -