Perutusan Hari Guru 2025 – Ketua Pemuda PAS

DPPM
- Advertisement -

SEMPENA sambutan Hari Guru 2025, saya mewakili seluruh saf kepimpinan Dewan Pemuda PAS Malaysia ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua guru, khususnya di institusi-institusi pendidikan bawah Parti Islam Se-Malaysia (PAS) iaitu Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI), Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI), dan Sekolah Menengah Integrasi Teras Islam (SMITI) atas jasa, pengorbanan dan komitmen tinggi dalam mendidik anak-anak ummah.

- Advertisement -

Tugas guru bukan sekadar menyampaikan ilmu, tetapi membentuk hati dan jiwa generasi pewaris perjuangan Islam. Kalian adalah benteng utama dalam membina masyarakat yang berakhlak, berprinsip dan bertaqwa kepada Allah SWT. Keikhlasan kalian dalam mendidik tanpa mengenal penat lelah, walau dalam serba kekurangan, amat kami hargai dan sanjungi.

PASTI, SRITI dan SMITI bukan sekadar institusi pendidikan biasa, tetapi medan untuk melahirkan insan rabbani yang seimbang dari sudut intelektual, spiritual dan sahsiah. Peranan guru dalam sistem ini sangat penting dan strategik. Kalian adalah ejen perubahan yang menggerakkan misi dakwah dan tarbiah sejak awal usia anak-anak.

Justeru, Hari Guru ini bukan sekadar simbolik, tetapi lambang pengiktirafan kepada pengorbanan tanpa tanda jasa yang kalian berikan setiap hari. Teruskan mendidik dengan penuh sabar dan kasih sayang, kerana dari tangan-tangan mulia kalian akan lahirnya mujahid dan mujahidah yang akan meneruskan risalah Islam ini hingga ke akhir zaman.

Akhir kata, semoga Allah SWT mengurniakan kekuatan, kesabaran dan keikhlasan berpanjangan kepada semua guru. Moga segala usaha kalian menjadi amal jariah yang berpanjangan hingga ke akhirat kelak.

Selamat Hari Guru!

“Guru Murabbi Membina Generasi Rabbani”

YB USTAZ AFNAN HAMIMI DATO’ TAIB AZAMUDDEN
Ketua Pemuda PAS
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 16/5/2025

- Advertisement -