
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Subang, Wong Chen menegaskan bahawa kerajaan perlu memberikan peruntukan adil kepada semua Ahli Parlimen termasuk daripada blok pembangkang, khususnya yang mewakili kawasan luar bandar.
Kenyataan itu dibuat dalam satu ucapan beliau di Majlis Pelancaran Buku Prof Terence Gomez yang berlangsung baru-baru ini di ibu negara.
Wong Chen yang dikenali dengan pendirian tegas dalam isu integriti dan antirasuah menegaskan bahawa reformasi sistem hanya boleh berlaku apabila semua Ahli Parlimen diperkasakan tanpa mengira latar parti.
“Perjuangan menentang rasuah memerlukan pendekatan sistemik, termasuk pembaharuan institusi Parlimen.
“Bagaimana wakil rakyat pembangkang hendak berkhidmat dengan baik kepada rakyat jika mereka dinafikan hak yang sama dalam bentuk peruntukan?” tegas beliau dalam ucapan selama 20 minit itu.
Rakaman penuh ucapan berkenaan turut dimuat naik oleh beliau di laman media sosial miliknya agar orang ramai dapat menilai keseluruhan konteks ucapan tanpa kekeliruan atau tafsiran terpilih oleh pihak media.
Dalam hantaran yang sama, beliau turut menafikan bahawa ucapannya itu ada kaitan dengan kempen pemilihan parti PKR, sebaliknya lebih menjurus kepada keperluan mendesak untuk memerangi rasuah secara menyeluruh.
Majlis berkenaan turut dihadiri tokoh akademik, aktivis dan pelbagai pihak yang komited terhadap agenda pembaharuan dan tadbir urus baik.
Wong Chen sebelum ini antara Ahli Parlimen kerajaan yang konsisten mendesak supaya peruntukan kawasan diberikan kepada pembangkang secara adil, selaras dengan prinsip demokrasi dan tanggungjawab bersama membangunkan negara.
Terdahulu, Pakatan Harapan sendiri pernah berjanji dalam manifesto pilihan raya untuk memberikan peruntukan yang sama rata kepada semua Ahli Parlimen termasuk pembangkang.
Kegagalan menunaikan janji ini bukan sahaja mencemarkan kredibiliti gabungan itu, malah memperlihatkan kegagalan mereka menunaikan komitmen asas kepada rakyat sebagai sebuah kerajaan. – HARAKAHDAILY 16/5/2025











