
JERLUN: PAS Kedah merakam ucapan takziah atas pemergian mantan Pengerusi Tetap Muktamar Tahunan PAS Pusat, Dato’ Ustaz Abu Kasim Abdullah yang menemui Sang Penciptanya.
Ucapan itu dirakamkan oleh Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato’ Ustaz Ahmad Yahaya, melalui media sosialnya sebaik sahaja berita kematian itu diketahui malam tadi.
Almarhum difahamkan telah menghembuskan nafas terakhir di kediamannya, Kodiang Lama, di sini kira-kira jam 7:40 malam tadi.
Ustaz Abu Kasim mula dilantik sebagai Pengerusi Tetap Muktamar PAS Pusat untuk sesi 1999-2001 pada Muktamar Tahunan PAS Pusat kali ke-45, yang diadakan di Pusat Tarbiyah PAS Kelantan (PUTIK), Pengkalan Chepa.
Almarhum telah berkhidmat sebagai Pengerusi Tetap Muktamar Tahunan PAS Pusat sehingga jawatan itu bertukar kepada Dato’ Husin Ismail yang menang tanpa bertanding pada sesi pemilihan 2013-2015
Pengunduran diri daripada bertanding pada jawatan tersebut adalah disebabkan faktor kesihatan.
Penyampaiannya yang bersahaja dan sering mencuit hati perwakilan, pemerhati dan saf jawatankuasa PAS Pusat ketika mengemudikan muktamar, masih ternyiang sehingga ke hari ini.
Selama 14 tahun mengendalikan muktamar tahunan itu, Almarhum tidak pernah kering idea mengungkap kata-kata lucu, sinis selain berpantun, membuatkan warga muktamar terhibur dan hilang rasa mengantuk.
Mantan Pengerusi Tetap itu juga pernah dinobatkan sebagai Tokoh Istiqamah pada Muktamar Tahunan PAS kali ke 63, lalu yang diadakan di Kompleks PAS Kedah, Alor Setar.
Bekas Yang Dipertua PAS Kawasan Kubang Pasu itu juga pernah diberi amanah sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS Kedah dan banyak menyumbang bakti kepada pembangunan tarbiyah PAS khususnya di Kubang Pasu.
Jenazah Almarhum akan disemadikan di tanah perkuburan Masjid Sirajiah, Kodiang Lama, selepas solat Jumaat.
Semoga rohnya dicucuri rahmat dan diampuni segala dosa. – HARAKAHDAILY 16/5/2025











