
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Parit, Muhammad Ismi Mat Taib menzahirkan penghargaan tinggi kepada seluruh warga pendidik atas jasa dan pengorbanan mereka dalam membina masa depan negara sempena sambutan Hari Guru yang diraikan pada 16 Mei setiap tahun.
Beliau berkata, guru bukan sekadar penyampai ilmu, tetapi memainkan peranan penting sebagai pembina akhlak, pembentuk jati diri dan pemangkin perubahan dalam masyarakat.
“Sesungguhnya, guru bukan sekadar penyampai ilmu, tetapi juga pembina akhlak, pembentuk jati diri dan pemangkin perubahan.
“Tema Hari Guru pada tahun ini, ‘Guru Pemacu Reformasi Pendidikan’ bertepatan dengan cabaran dan peranan yang digalas oleh para guru hari ini.
“Dalam era dunia tanpa sempadan, guru bukan sahaja mendidik di dalam kelas, bahkan membimbing generasi muda untuk menghadapi dunia luar yang serba mencabar,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.
Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga pendidik khususnya di Parit dan di seluruh negara amnya, atas segala pengorbanan, usaha dan dedikasi yang tidak ternilai.
“Kalian adalah nadi perubahan yang membentuk generasi pewaris kepimpinan masa depan. Teruskan perjuangan mulia ini dengan penuh keikhlasan, sabar dan kasih sayang.
“Moga setiap titisan peluh dan air mata dalam mendidik anak bangsa akan diganjari pahala berterusan oleh Allah SWT. Selamat Hari Guru. Terima kasih, cikgu!” katanya.
Sementara itu, Lajnah Hal Ehwal Pekerja dan Modal Insan PAS Pahang, Ahmad Safawi Taharim, turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga pendidik, khususnya para guru yang mendidik di institusi pendidikan Islam.
“Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran kita panjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia-Nya, kita dapat menyambut Hari Guru pada tahun ini dengan tema yang cukup bermakna iaitu ‘Guru Murabbi Membina Generasi Rabbani’.
“Tanggal 16 Mei merupakan hari yang amat bermakna yakni hari untuk kita menzahirkan penghargaan kepada seluruh pendidik yang telah mencurahkan ilmu, kasih sayang dan bimbingan kepada anak-anak penyambung generasi soleh pintar.
“Dalam konteks pendidikan Islam, guru bukan sekadar penyampai ilmu, malah mereka adalah murabbi, muallim dan daie yang mendidik dengan hati, membina jiwa dan menanam nilai Islam dalam kehidupan anak-anak kita,” katanya.
Ahmad Safawi turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para guru di institusi pendidikan di bawah kelolaan Dewan Pemuda PAS Malaysia seperti Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI), Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) dan Sekolah Menengah Integrasi Teras Islam (SMITI).
Beliau berkata, institusi pendidikan itu yang memainkan peranan penting dalam membentuk generasi berilmu dan berakhlak mulia.
“Anda semua adalah nadi utama dalam membina generasi rabbani yang berilmu, berakhlak dan berwibawa. Tugas seorang guru bukan sekadar menyampaikan ilmu, tetapi mendidik jiwa, membina adab, membentuk akhlak dan mencorak masa depan umat,” katanya.
Beliau berkata, dalam konteks pendidikan Islam, guru adalah murabbi yakni yang membimbing dengan kasih sayang, memimpin dengan qudwah dan mendidik dengan hikmah.
“Di PASTI, para guru mencorakkan tunas awal dengan tauhid dan nilai Islam. Di SRITI, para guru menyemai kefahaman ad-din bersama kecemerlangan akademik.
“Di SMITI pula, para guru menggilap potensi kepimpinan dan kefahaman syumul tentang Islam dalam kalangan remaja yang bakal meneraju kepimpinan Islam di negara ini kelak.
“Bertepatan dengan tema hari guru yang telah dipilih, suka untuk saya ingatkan para guru bahawa kalian memegang amanah yang besar untuk membina generasi Rabbani iaitu generasi yang berilmu, beriman dan berakhlak mulia,” katanya.
Beliau turut memetik ayat 79 dari Surah Ali-Imran yang menekankan kepentingan menjadi orang-orang Rabbani melalui pengajaran dan pembelajaran ilmu.
“Ayat tersebut menekankan bahawa ciri generasi rabbani ialah mereka yang mempelajari dan mengajarkan ilmu serta menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup.
“Inilah matlamat sebenar pendidikan Islam, bukan sekadar melahirkan insan cemerlang akademik tetapi cemerlang dalam iman dan takwa,” katanya.
“Selamat menyambut hari guru kepada semua pendidik yang dirahmati Allah SWT. Sesungguhnya peranan kalian amat besar dalam membina masa depan ummah. Jadilah murabbi yang mendidik dengan kasih sayang, kesabaran dan istiqamah.
“Semoga setiap ilmu yang dicurahkan menjadi amal jariah yang berkekalan. Selamat Hari Guru. Guru Murabbi Membina Generasi Rabbani.. tugas yang mulia, amanah yang agung,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/5/2025











