Sokong Kedah berani tangani gejala dadah

Nuridah
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Malaysia merakamkan sokongan penuh terhadap ketegasan Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor dalam menangani gejala dadah yang semakin membarah dalam masyarakat.

- Advertisement -

Ketua Muslimat PAS, Ustazah Nuridah Mohd Salleh berkata, teguran Sanusi kepada pihak sekolah agar tidak menyembunyikan masalah penyalahgunaan dadah, termasuk melalui medium vape yang semakin membimbangkan adalah amat wajar.

“Masalah tidak akan selesai jika terus disapu ke bawah karpet. Usaha mendidik dan merawat mesti berjalan seiring dengan pencegahan dan penguatkuasaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut menyambut baik keputusan berani Kerajaan Negeri Kedah untuk tidak menyambung lesen perniagaan vape di negeri tersebut seperti yang diumumkan baru-baru ini.

“Tindakan ini berani, berpandangan jauh, dan sangat diperlukan demi melindungi generasi muda daripada menjadi mangsa industri perosak. ‘Menutup gelong tempat masuk air kotor’, sebagaimana diungkap YAB MB.

“Adalah ibarat menutup pintu maksiat dan kerosakan sebelum ia menular lebih parah. Semoga pendekatan berani ini menjadi contoh kepada negeri-negeri lain.

“Kita perlu pemimpin yang berani kerana benar, bukan takut kerana salah!” katanya.

Kerajaan Negeri Kedah pada 14 Mei lalu memutuskan untuk tidak memperbaharui lesen perniagaan vape yang tamat pada tahun ini sebagai langkah drastik membanteras penularan dadah sintetik yang semakin membimbangkan.

Keputusan itu diambil kerana dadah sintetik melalui vape kini menjadi ancaman utama apabila bahan terlarang itu diedarkan secara meluas termasuk kalangan pelajar sekolah. – HARAKAHDAILY 16/5/2025

- Advertisement -