Gangguan lalat: Kilang ayam kotor dikenakan tindakan

Chia Zhen turun padang meninjau permasalahan di lokasi kilang
- Advertisement -

KULIM-BANDAR BAHARU: Seorang pengusaha ternakan ayam di Kampung Terap bakal menerima tindakan kerana tidak menjaga kebersihan hingga menjejaskan kawasan persekitaran.

- Advertisement -

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kulim, Wong Chia Zhen, lesen perniagaan pengusaha itu kemungkinan akan ditahan sebelum diperbaharui.

“Masalah lalat yang mengganggu penduduk kampung berhampiran premis ini sudah lama, tetapi sejak kebelakangan ini, agak serius.

“Penduduk sudah tidak tahan, lakukan aduan sebab mengganggu rutin harian dan kesihatan mereka,” ujar beliau kepada Harakahdaily, ketika dihubungi, di sini.

Sebelum ini kata Chia Zhen, kilang ayam di Kampung Terap itu pernah dibuat pemeriksaan oleh pihak berkuasa tetapi masalah lalat yang berpunca dari operasi premis itu semakin ketara kebelakangan ini.

Pada tinjauan terbaru beliau bersama wakil Jabatan Veterinar, Jabatan Alam Sekitar dan penduduk kampung, mendapati terdapat kecuaian pekerja yang tidak menjaga kebersihan premis tersebut dengan baik.

“Bagi penyelesaian jangka pendek, pengusaha akan diambil tindakan dan lesen perniagaannya akan ditahan serta tidak boleh diperbaharui.

“Isu kebersihan serta gangguan lalat ini bukan benda kecil, boleh membawa penyakit dan kesan-kesan kepada penduduk persekitaran,” tambah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri itu lagi.

Dalam masa yang sama, pihaknya akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat untuk penyelesaian jangka panjang untuk mengatasi masalah tersebut. – HARAKAHDAILY 16/5/2025

- Advertisement -