Anak-anak perlu ‘dikepung’ sedari kecil – Dr Fadzli

Dr Fadzli tercuit hati melayani telatah anak-anak peserta
- Advertisement -

MACHANG: Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan menegaskan pentingnya membimbing anak-anak sejak dari kecil bagi mengelak mereka terjebak dengan gejala sosial yang semakin membimbangkan.

- Advertisement -

Menurut beliau yang juga ADUN Temangan, anak-anak perlu ‘dikepung’ dari segenap sudut sejak awal usia agar tidak mudah terpengaruh dengan anasir negatif.

“Gejala keruntuhan akhlak dan ancaman dadah di kalangan generasi muda menyerang sesiapa sahaja tanpa mengenal kedudukan dalam masyarakat. Mari kita bersama fikir dan usahakan apa lagi yang boleh kita lakukan, tanpa menyalahkan sesiapa,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program tahunan Kem Anak Soleh 2025 anjuran Pusat Khidmat ADUN Temangan yang menghimpunkan seramai 110 peserta.

Jelasnya, bukan masanya untuk menuding jari kepada mana-mana pihak kerana semua pihak mempunyai tanggungjawab dalam mendidik generasi muda.

Sebaliknya kata beliau, masyarakat perlu berganding bahu tanpa mengira latar belakang dan kedudukan kerana pasti ada sesuatu yang boleh dilakukan walaupun kecil.

“Lagipun semua kita akan dipertanggungjawabkan, lebih-lebih lagi ibu bapa dan pihak berkuasa,” tambah beliau yang turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat menjayakan program tersebut.

Kem Anak Soleh itu telah difasilitator dan diuruskan oleh Ameerah dan Muslimat DUN Temangan yang sentiasa bekerjasama sejak awal penganjuran.

Turut dihargai ialah Bitara Training and Consultant serta ibu bapa yang memberikan kepercayaan kepada pihak penganjur untuk menyertakan anak-anak mereka dalam kem tersebut. – HARAKAHDAILY 16/5/2025

- Advertisement -