Mana Hospital Wanita dan Kanak-kanak Melaka?

Dr Yadzil mahu kemampuan fasiliti kesihatan di Melaka ditingkatkan
- Advertisement -

AYER KEROH: Dr Mohd Yadzil Yaakub menggesa kerajaan mempercepatkan pembinaan hospital baharu di negeri itu bagi mengatasi masalah kesesakan dan kekurangan kemudahan kesihatan yang semakin meruncing.

- Advertisement -

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka itu berkata, isu itu semakin mendesak susulan insiden kecuaian melibatkan seorang kanak-kanak yang menjadi manifestasi kepada kelemahan sistem perkhidmatan kesihatan awam ketika ini.

“Saya simpati dengan nasib yang menimpa anak kepada Puan Siti Aishah Rahim beberapa hari lepas. Saya sempat menziarahi anak kecil ini dan keluarganya di rumah beliau. Adik yang diberi nama Siti Farha Adelia Mohd Firdaus telah dibenarkan pulang ke rumah pada hari Isnin yang lalu.

“Walaupun sudah memaafkan pihak hospital atas kecuaian yang berlaku, namun besar harapan beliau dan suami berharap mutu perkhidmatan Hospital Melaka berubah menjadi lebih baik.

“Mereka mengharapkan insiden yang sama tidak berulang menimpa keluarga yang lain,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bemban menerusi kenyataan di Facebook, tadi.

Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka berkata, setiap kesalahan tidak boleh diletakkan sepenuhnya kepada pihak hospital.

“Saya percaya pihak kakitangan kesihatan Hospital Melaka telah berusaha memberikan perkhidmatan terbaik dengan kemampuan yang ada dan fasiliti tersedia.

“Pengiktirafan cemerlang terhadap sistem kesihatan di Malaysia tidak akan kekal lama jika permasalahan yang timbul tidak diselesaikan. Tindakan perlu dilaksanakan sesuai dengan permintaan dan perubahan zaman.

“Masalah yang tular perlu dianggap sebagai ‘wake-up call’ atau peringatan,” katanya.

Beliau berkata populasi penduduk Melaka setakat 2024 adalah berjumlah 1.05 juta, manakala pertumbuhan populasi adalah sekitar satu hingga dua peratus setiap tahun bermaksud setiap tahun akan bertambah 10,000 hingga 20,000 penduduk.

“Setakat Disember 2021 data dalam laporan Petunjuk Kesihatan yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) terdapat hanya 1,295 buah katil di hospital kerajaan tidak termasuk 144 buah katil di Hospital Terendak.

“Saya percaya jumlah ini tidak banyak berubah kerana tidak ada pembinaan hospital kerajaan yang baru di Melaka,” katanya.

Beliau berkata, KKM telah menetapkan sasaran nisbah katil untuk setiap 1,000 penduduk adalah 2.08 pada Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang akan berakhir pada tahun 2025.

“Bertambahnya populasi penduduk Melaka, maka semakin tinggi permintaan perkhidmatan kesihatan. Semakin tinggi kos sara hidup sekarang, fasiliti kesihatan kerajaan menjadi pilihan utama rakyat.

“Dah semestinya rakyat harapkan perkhidmatan yang terbaik sebagai timbal balik hasil cukai yang dibayar. Cadangan untuk membina hospital baru di Melaka telah dibangkitkan sejak 2018 lagi,” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Pusat telah meluluskan peruntukan sejumlah RM700 juta untuk pembinaan Hospital Wanita dan Kanak-kanak di Melaka pada pembentangan Bajet 2023.

“Cadangannya pembinaan akan dimulakan pada awal 2025 dan dijangka selesai pada 2030. Namun sehingga kini masih belum ada perkembangan.

“Yang Di-Pertua Negeri Melaka sendiri baru-baru ini membangkitkan kerisauan terhadap cadangan pembinaan hospital ini yang menurutnya seperti dihentikan.

“Isu ini pernah saya ajukan kepada pihak kerajaan dalam persidangan DUN Melaka yang lalu, namun jawapan dari pihak Exco amat mendukacitakan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri perlu bersungguh-sungguh untuk menyelesaikan masalah kesesakan Hospital Melaka yang semakin meruncing, serta Exco perlu bertindak proaktif.

“Apa jadi kepada peruntukan pembinaan hospital baru di Melaka yang telah diluluskan? Ini adalah kemudahan rakyat yang perlu dipandang serius. Kebajikan dan kesihatan rakyat perlu menjadi keutamaan melangkaui kepentingan hiburan sepanjang Tahun Melawat Melaka.

“Kalau kerajaan pusat boleh meluluskan peruntukan kiosk yang berjumlah RM150 juta dan dengan segera kiosk dapat disediakan, tapi kenapa masih berlengah dengan keperluan dalam sektor kesihatan yang mendesak dan lebih penting untuk rakyat?

“Pembinaan akan mengambil masa yang lama. Hospital hanya akan dapat digunakan setelah selesai proses penempatan kakitangan kesihatan, jururawat dan doktor. Setiap kelewatan akan merugikan rakyat,” katanya.

Beliau berkata, masalah kekurangan katil di Hospital Melaka ini bukanlah isu baru, malah bukanlah keperluan sepanjang masa, tapi ia adalah satu isu yang perlu dipandang serius dan akan menjadi beban kepada hospital jika tiada tindakan awal.

“Bak kata pepatah, sediakan payung sebelum hujan. Selain isu lokal, isu kebajikan jururawat dan doktor juga akan menjadi masalah dalam perkhidmatan kesihatan pada masa akan datang. Sehingga kini masih belum ada penyelesaian tuntas.

“Seluruh negara akan merasai kesannya. Jururawat dipaksa untuk bekerja lebih waktu dari sistem yang telah berjalan baik yang telah diamalkan sebelum ini. Dari 42 jam kepada 45 jam seminggu dengan syif yang membebankan.

“Sering kali terpaksa bekerja ‘double shift’ kerana kekurangan staf. Mereka bukan robot. Mereka hanya manusia biasa yang ada hati dan perasaan. Tugas mereka tidak boleh disamakan dengan pekerjaan lain,” katanya.

Beliau berkata, penat lelah doktor dan beban tanggungjawab mereka yang berat yang sentiasa bermain dengan nyawa manusia, mempertaruhkan kredibiliti mereka, mengorbankan masa dan keluarga masih belum dihargai dengan baik.

“Anggota kesihatan semakin bosan, hilang motivasi, tertekan, rasa ditindas. Maka tidak hairanlah semakin ramai jururawat dan doktor yang berhenti dan berhijrah ke hospital swasta atau mencari rezeki di negara luar, malah ada yang berhenti mencuba nasib dalam bidang lain.

“Apa kesannya jika doktor, jururawat serta anggota kesihatan yang lain meninggalkan sektor kesihatan kerajaan? Inisiatif yang lumayan perlu dirangka untuk mengelakkan pakar-pakar dan tenaga mahir dalam kesihatan ini dari mengalir keluar ke negara jiran atau sektor swasta.

“Minat pelajar terhadap Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang makin berkurang juga menjadi antara faktor yang akan memberi dampak negatif dalam bidang kesihatan pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata, pihak yang bertanggungjawab perlu memikirkan cara untuk memupuk minat generasi akan datang terhadap STEM bermula dari pra-sekolah.

“Banyak masalah yang perlu diselesaikan dalam sektor kesihatan yang dilihat semakin meruncing. Pihak Menteri dan kerajaan perlu rasional dan serius dalam membuat keputusan.

“Maklumat dan statistik yang ada hanya sebagai panduan tapi realiti di lapangan perlu diberi perhatian. Setiap saat kelewatan akan mempertaruhkan nyawa rakyat. Kepentingan politik perlu diketepikan.

“Saya dan rakan-rakan di Perikatan Nasional sentiasa sedia dan komited untuk menyelesaikan masalah kesihatan ini demi rakyat,” katanya.

Terdahulu, tular sebuah video berdurasi 13 minit memaparkan tangisan dan rintihan bayi perempuan 22 bulan yang mengalami demam panas dan diserang sawan dikatakan gagal diberikan rawatan di sebuah hospital kerajaan meskipun sudah menunggu hampir 11 jam, Sabtu lalu.

Ibu bayi, Siti Aishah Rahim, 27, berkata, dia dan ibunya tiba di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Melaka pada jam 2.30 petang, Sabtu lalu selepas badan anak sulungnya, Siti Farha Adelia Mohd Firdaus, 22 bulan, tiba-tiba panas.

“Semasa tiba di hospital, jururawat cuma mengambil darah anak dan terus membiarkan bayi berusia 22 bulan saya sehingga suhu badannya meningkat pada tahap 38, 39 dan 40 darjah celcius.

“Puas saya tanya dan jawapan diberikan hanya meminta saya tunggu sehinggalah bayi saya diserang sawan pada pukul 1 pagi (Ahad) menyebabkan badannnya kejang.

“Daripada dia boleh aktif terus kena sawan dan masa doktor hendak stabilkan Siti Farha, memang hancur hati saya bila pihak hospital tidak bertanggungjawab memperlakukan anak seperti alat mainan.

“Ini nyawa bayi tidak berdosa, mana pergi semua petugas di Zon Hijau? Saya seperti orang bodoh, (apabila) tanya dengan jururawat, tiadakah wad kosong sebab badan anak sudah menggigil sebelum diserang sawan.

“Kau sebagai pihak bertanggungjawab sepatutnya periksa keadaan pesakit. Tapi hancur hati aku bila jawapan diberikan ‘puan tunggu je sampai misi wad datang panggil’ sambil muka kau mengadap komputer,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/5/2025

- Advertisement -