
KOTA BHARU: Program Sukan Mahabbah anjuran Persatuan Pegawai-Pegawai Hal Ehwal Islam (PTU) menjadi medan terbaik memperkukuh ukhuwah serta kerjasama strategik antara pegawai-pegawai dari pelbagai agensi agama di negeri ini.
Penganjuran program ini bukan sekadar menggalakkan gaya hidup sihat melalui aktiviti fizikal, bahkan menjadi ruang menyatukan pegawai pelbagai latar belakang dalam suasana mahabah dan persaudaraan Islam.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Antara Kaum, Zamakhshari Mohamad berkata, sukan bukan sekadar medan pertandingan fizikal, tetapi wadah memperkukuh hubungan dan membina kepercayaan antara individu serta agensi.
“Selain itu, ia turut menjadi landasan memperkukuh budaya kerja berpasukan, menyemai nilai kepimpinan dan memperkuat jaringan kerjasama rentas jabatan yang amat diperlukan dalam mendepani cabaran dakwah semasa,” ujarnya.
Katanya, dalam konteks pegawai Hal Ehwal Islam, mereka bukan sahaja membawa imej penjawat awam, tetapi juga panji dakwah dan nilai Islam dalam setiap tindakan termasuk dalam aspek sosial, sukan dan riadah.
“Rasulullah SAW sendiri menganjurkan aktiviti menyihatkan badan seperti berlumba lari, berkuda dan memanah, serta menekankan kepentingan menjaga kesihatan fizikal.
“Saya percaya program ini bukan sahaja bertepatan dengan sunnah, malah menjadi satu bentuk ibadah jika dilakukan dengan niat yang betul dan cara yang baik,” ujarnya berucap merasmikan penutupan.
Beliau turut menekankan bahawa program seperti ini penting dalam memperkukuh ukhuwah Islamiah antara pegawai pelbagai latar belakang dan jabatan.
“Dalam dunia yang semakin mencabar hari ini dengan isu sosial, penyebaran ideologi songsang, dan krisis nilai dalam masyarakat pegawai Hal Ehwal Islam tidak boleh bergerak secara ‘silo’ (bersendirian),” katanya.
Menurut beliau, kerjasama, jaringan kukuh dan saling menyokong antara satu sama lain amat diperlukan demi memperkukuh peranan sebagai pemegang amanah agama.
“Saya berharap program ini dimanfaatkan bukan sahaja untuk bersukan dan berhibur secara sihat, tetapi juga untuk memperteguh jaringan ukhuwah, semangat kerja dan peranan kita dalam pembangunan ummah,” katanya.
Lima agensi utama yang bernaung di bawah PTU ialah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK).
Juga Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Kelantan (JKSNK), Jabatan Mufti Negeri Kelantan dan Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Kelantan. – HARAKAHDAILY 16/5/2025











