Dadah punca masalah, jenayah dalam masyarakat

Muhammad Sanusi
- Advertisement -

ALOR SETAR: Masyarakat mahupun komuniti diajak agar memberi perhatian kepada perkara yang mungkin dianggap kecil tetapi sebenarnya begitu besar kepada pihak lain iaitulah akibat dadah.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, isu penyalahgunaan dadah di dalam masyarakat telah mengakibatkan masalah sosial yang lain, antaranya kecurian.

“Mereka rembat getah sekerap penoreh getah sedangkan penoreh getah itu simpan berhari-hari untuk beli baju dan kelengkapan sekolah anak-anak.

“Penagih dadah ini mereka perlukan RM50 sehari untuk mendapatkan bekalan. Mereka ‘rembat’ (curi) getah sekerap tiga baris yang nilainya RM50.

“Sedangkan penoreh getah berhari-hari membanting tulang, sampai sakit pinggang untuk habiskan menoreh tiga baris itu,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu.

Sanusi berkata demikian untuk menarik perhatian semua pihak agar membantu serta bekerjasama membenteras penyalahgunaan najis dadah dan jangan melindungi atau pertahankan penagih dadah dari diberkas.

Kemungkinan katanya, kisah kecurian getah sekerap oleh penagih dadah itu dianggap perkara remeh dan kecil bagi sesetengah orang, namun bagi yang mengalaminya merupakan derita besar serta amat menyedihkan.

“Tuan kebun pi nak kutip getah sekerap, tau-tau dah ada orang kutip dah. Bukan sekerap saja kawan tu rembat, sekali dengan pot susu getah dan pancoq iaitu saluran susu getah, dia ‘kebas’ (curi).

“Pencuri ni dia bawa plastik hitam, rembat semua masukkan dalam plastik. Esok tuan kebun datang, sekerap tak ada, pot tak ada, pancoq tak ada, duit pun tak ada,” katanya agak kesal.

Dalam masa yang sama, beliau mengakui isu penyalahgunaan dadah ini antara menjadi kebimbangan di kalangan pendidik di mana perkara itu berlaku kepada para pelajar.

“Saya berharap Jabatan Pendidikan dan guru-guru ambil peranan masing-masing, jangan takut untuk mengakui kita sakit dan mendapatkan rawatan, daripada menyembunyikan penyakit.

“Akhirnya mati tidak tahu punca, bila dibuat bedah siasat baharu jumpa puncanya dari dadah,” katanya lagi.

Justeru tegasnya pihak berkuasa digesa agar lebih serius mencari dari sumber manakah dadah ini dibawa masuk.

“Sekiranya tiada pembekal, bagaimana boleh ada permintaan, kena sekat pembekal itu. Tutup gelung-gelung yang air boleh masuk, keringlah tempat tu,” tegasnya lagi. – HARAKAHDAILY 16/5/2025

- Advertisement -