
KOTA BHARU: Kerjasama politik PAS sejak tahun 1990 bersama Angkatan Perpaduan Ummah (APU), Barisan Alternatif (BA), Pakatan Rakyat (PR) dan kini Perikatan Nasional (PN) tidak pernah merugikan parti itu.
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Mohd Asri Mat Daud berkata, pasca Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Ogos 2023 menyaksikan gabungan PN berjaya mengambil alih tampuk pemerintahan empat buah negeri.
Beliau berkata kaedah kerjasama ‘tahaluf dan taawun’ merupakan senjata yang paling ampuh bagi gerakan Islam menghadapi perubahan zaman, bahkan ditambah baik menepati keperluan dan tuntutan semasa politik.
“Pendekatan ‘taawun siyasi’ (kerjasama sekarang) tidak ketat berbanding ‘tahaluf siyasi’ (kerjasama ketika dalam PR) dan sangat perlu dijadikan mekanisma sentiasa dikemaskini daripada semasa ke semasa.
“PAS tidak pernah rugi bahkan kita sentiasa dikurniakan dengan pembukaan dan kemenangan melalui pintu ‘tahaluf siyasi’ dahulu,” kata beliau dalam satu hantaran di laman sosial Facebook, semalam.
Terdahulu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demit itu menjadi naqib Usrah Dewan Pemuda PAS Kelantan dengan silibus Manhaj Tanfiz 2, ‘Fikrah Islam: Tahaluf Siyasi, Syarat dan Pengalaman PAS’, di sini.
Kelihatan hadir Ketua dan Timbalan Ketua serta Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, Mohamad Kamal Mohamed dan Mohd Abdul Malik Abdul Karim serta Mohd Firdaus Mohd Nawi.
Ia merupakan majlis pertama selepas Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Pemuda PAS Kawasan melabuhkan tirai dan menyaksikan perlantikan muka baharu dalam kepimpinan pemuda kawasan bagi sesi 2025-2027.
Ahli Exco Kerajaan Negeri itu turut mengimbau sejarah ‘tahaluf’ PAS bermula pada era 70-an melalui parti Perikatan sehingga berjaya memerintah dua negeri iaitu Kelantan dan Terengganu sejak 1959.
“Semua ‘tahaluf’ ini mempunyai disiplin dan ketetapan yang dibuat dengan sangat cermat, kita tidak pernah mengkhianati kawan ‘tahaluf’, tetapi terpaksa keluar ‘tahaluf’ kerana rakan ‘tahaluf’ melanggar syarat.
“‘Tahaluf’ sebegini juga akan menjadi mekanisme dalam percaturan malhamah akhir zaman, umat Islam akan bergabung dengan sesiapa sahaja mencapai kemenangan dan mengukuhkan kuasa pemerintahan,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/5/2025











