
KANGAR: Kerajaan Negeri Perlis mengharamkan penjualan rokok elektronik atau vape berkuat kuasa 1 Ogos ini disifatkan sebagai langkah berani dan tegas demi menyelamatkan generasi muda daripada ancaman baharu yang menggugat kesihatan dan akhlak masyarakat.
Langkah pengharaman itu dibuat berpandukan keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis yang telah mengharamkan penggunaan vape sejak tahun 2022, dan kini mendapat sokongan penuh daripada pihak berkuasa tempatan, khususnya Majlis Perbandaran Kangar (MPK).
Menurut Yang Dipertua MPK, Affendi Rajini Kanth, pihaknya akan mengambil pendekatan proaktif dengan memberi khidmat nasihat kepada peniaga dalam tempoh tiga bulan ini sebelum tarikh penguatkuasaan.
“Kami menyarankan agar peniaga vape mengambil maklum keputusan ini dan bersedia untuk beralih kepada perniagaan lain yang lebih berfaedah serta tidak menjejaskan kesihatan masyarakat,” katanya ketika dihubungi.
Affendi turut menjelaskan bahawa MPK tidak pernah mengeluarkan lesen khusus untuk premis menjual vape.
“Lesen yang diberikan hanyalah kepada premis yang didaftarkan sebagai kedai peralatan elektronik dan itu pun, bukan untuk jualan cecair atau produk vape.
“Sejak Mac 2023, tiada lagi lesen baharu dikeluarkan kepada premis berkenaan, malah hanya pembaharuan lesen sedia ada sahaja yang dibenarkan,” katanya.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat menerusi mesyuarat Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pelesenan dan Penguatkuasaan yang mengambil kira kebimbangan terhadap kesan negatif vape terhadap kesihatan awam.
“Mesyuarat itu juga membincangkan keperluan untuk menyekat pertumbuhan perniagaan vape agar tidak menjadi satu industri yang tidak terkawal, terutama sekali apabila pengaruhnya begitu kuat dalam kalangan remaja,” ujar beliau.
Fatwa sebagai asas tindakan
Menurut Affendi, tindakan pengharaman ini bukan dilakukan secara sewenang-wenangnya, sebaliknya bersandarkan kepada keputusan hukum oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis.
Fatwa tersebut menjadi asas utama kepada pelaksanaan dasar ini demi menjaga maslahat ummah dan mencegah kemudaratan yang lebih besar kepada masyarakat.
Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli sebelum itu berkata, penggunaan vape semakin membimbangkan, terutamanya dalam kalangan anak muda, malah terdapat kes melibatkan murid sekolah rendah yang telah terjebak dengan aktiviti tersebut.
“Ini adalah ancaman yang nyata dan mesti ditangani segera. Kerajaan negeri tidak akan berkompromi apabila ia melibatkan kesihatan dan masa depan anak bangsa,” tegas beliau.
Tindakan tegas yang diambil oleh Kerajaan Negeri Perlis bukan sesuatu yang luar biasa, di mana sebelum ini, Johor telah menjadi negeri pertama yang mengharamkan penjualan vape sepenuhnya sejak tahun 2016.
Ia kemudian diikuti Kelantan dan Terengganu yang turut mengenakan larangan atas dasar menjaga kesihatan dan prinsip agama.
Melaka pula sedang mempertimbangkan larangan di kawasan tertentu, manakala Selangor dilaporkan sedang merangka pendekatan kawalan ketat menerusi pihak berkuasa tempatan.
Pengharaman ini menunjukkan kesedaran semakin tinggi dalam kalangan kerajaan negeri terhadap bahaya yang dibawa oleh industri vape.
Affendi menegaskan bahawa pihak MPK akan terus memantau perkembangan semasa dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap mana-mana premis yang didapati masih menjual produk vape selepas 1 Ogos nanti. — HARAKAHDAILY 16/5/2025











