
KUALA LUMPUR: Pakar Perubatan Keluarga, Dr Suhazeli Abdullah menyatakan persetujuannya supaya rokok diharamkan terus, dengan mengambil kira pelbagai sudut termasuk kemudaratan kesihatan dan ekonomi.
Menurutnya, merokok mempunyai banyak keburukan, malah hampir separuh penyakit yang berlaku kini dikaitkan dengan rokok sama ada secara langsung atau tidak langsung.
“Kanser paru-paru contohnya, berkadar terus dengan perokok. Penyakit Tersumbat Salur Pernafasan (COPD) pun majoriti berpunca dari merokok. Semua orang tahu fakta tersebut.
“Sepatutnya program atau akta penghapusan rokok secara total diwujudkan oleh semua penguasa setiap negara,” ujarnya dalam media sosial miliknya.
Namun begitu katanya, 99 peratus daripada 200 negara di dunia gagal mengharamkan rokok dan mempersoalkan mengapa terlalu sukar untuk mewujudkan akta lebih keras bagi menghapuskan rokok.
“Kita lihat sendiri dalam negara kita 23 peratus rakyat Malaysia merokok iaitu hampir enam juta orang. Walaupun fatwa haram rokok sejak 1995 lagi tetapi jumlah perokok Muslim melebihi non-Muslim iaitu 55 peratus.
“Malah fakta yang menunjukkan banyak penyakit dalam kalangan lelaki disebabkan merokok tidak diendahkan oleh mereka, perokok lelaki dalam Malaysia adalah 98.3 peratus,” dedahnya.
Katanya, keadaan itu menjadi antara sebab mengapa akta lebih keras dan tegas amat sukar diwujudkan.
“Merokok telah sebati dengan kehidupan manusia dan ianya menjadi budaya bagi sesetengah tempat. Tempat makan, rumah ibadah, pasar dan tempat awam sudah lama dijadikan ‘port’ para perokok.
“Sebab itu apabila KKM buat arahan larangan merokok di tempat berkenaan, ada segelintir rakyat yang melenting,” jelasnya.
Beliau turut mempersoalkan tindakan segelintir rakyat yang mempertikaikan larangan merokok di tempat awam atas alasan hak perokok.
“Tidak terfikir akal oleh kita bahawa ada juga rakyat yang mempersoalkan larangan merokok di tempat awam itu. Kononnya melindungi hak perokok.
“Apakah mereka ingat hak asasi rakyat yang tidak merokok sebanyak 77 peratus itu tidak perlu diperjuangkan?” persoalnya.
Dr Suhazeli menyatakan sokongannya untuk menghapuskan rokok dalam negara secara terancang dan berdikit-dikit serta menyifatkan perancangan ‘End Game 2045’ sebagai amat berpatutan.
“Tidak perlu kita (baca Kementetian Kesihatan Malaysia) terburu-buru menghapuskan sekali gus. Matlamat mengurangkan jumlah perokok dalam negara secara beransur-ansur ini perlu kita dukung bersama.
“Paling tidak pada tahun 2045 nanti hanya berbaki lima peratus perokok dalam negara Malaysia yang tercinta ini,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata baki lima peratus itu masih ada kerana amat sukar untuk membasmi semuanya.
“Seperti yang saya sudah beritahu sebelum ini, terlalu amat sukar untuk basmi semuanya, mungkin masih berbaki lagi lima peratus spesies perokok yang berbibir biru dan gigi berkarat!
“Apa boleh buat dengan kedegilan mereka itu? Mereka akan mati juga akhirnya,” sinis beliau. – HARAKAHDAILY 16/5/2025











