Rakyat Malaysia dibelenggu politikus kronisme, nepotisme

Ridza Abdoh
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Politik Malaysia terus dibelenggu oleh budaya taksub kepada parti, sekali gus menenggelamkan suara rakyat dalam arus perebutan kuasa yang tiada penghujung.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana, Dato’ Ridza Abdoh Salleh melontarkan pandangan kritis itu ketika menyentuh realiti semasa politik tanah air yang disifatkan sebagai tidak sihat dan menindas.

- Advertisement -

Menurut beliau, sistem politik Malaysia masih terperangkap dalam kerangka feudalisme moden menuntut ketaatan mutlak kepada parti, menjadikan perbezaan pendapat sebagai dosa besar yang membawa hukuman singkir dan aib.

“Setiap orang dijangka mematuhi dasar parti, diam atau anda akan disingkirkan,” ujar beliau, merujuk kepada amalan era kepimpinan lalu yang memperlihatkan bagaimana suara berbeza dilenyapkan tanpa belas kasihan.

Ridza turut menyentuh fenomena ahli politik yang pernah menjadi mangsa tekanan sistem politik sedemikian, namun selepas menubuhkan parti baharu, tetap mengulangi budaya sama.

Sekadar menukar baju, tetapi isinya tetap lama itulah yang disifatkan beliau sebagai satu ironi menyedihkan.

“Peliknya, mereka mengitar semula sistem yang pernah menindas mereka. Bukankah itu satu ironi?” soalnya, menggambarkan kitaran yang tiada kesudahan dalam politik Malaysia.

‘UmDAP’: Dari musuh jadi sekutu

Dalam nada sinis yang tajam, Ridza turut mempersoalkan retorik politikus seperti DAP dan PKR yang suatu ketika dahulu begitu lantang mengkritik Umno dengan pelbagai label dan cercaan, namun kini seolah-olah berdansa dan beronggeng bersama atas nama perpaduan.

“Dulu Umno dituduh perasuah, perompak, kronisme. Umno pula membalas dengan liwatologi, pondanologi dan komunismologi. Tapi bila mereka jadi kerajaan bersama, semua celaan itu hilang.

“Kini mereka saling berduet, memuji dan menari bersama,” katanya merujuk kepada gabungan politik pasca PRU15 yang digelar ‘UmDAP’ oleh sebilangan pengkritik.

Bagi Ridza, hal ini mencerminkan betapa prinsip dalam politik Malaysia hanyalah ‘aksesori’ yang boleh diganti mengikut musim dan nafsu kuasa.

Watak politikus ujarnya, bukan lagi pemimpin masyarakat, sebaliknya menjadi pelakon pentas sandiwara yang bertukar topeng saban waktu.

Kronisme, nepotisme: Dulu dikecam, kini dirai

Ridza juga tidak menahan diri daripada menyentuh isu kronisme dan nepotisme yang kini diam tanpa suara, meskipun satu ketika dahulu menjadi bahan tempelak cukup popular di bibir pimpinan pembangkang.

“Grandmother of nepotisme dan kronisme seperti keluarga Lim tidak lagi disentuh. DAP tiba-tiba senyap, seolah-olah pembesar suara mereka dicabut,” bidas beliau, merujuk kepada kelangsungan amalan dinasti politik dalam gabungan pemerintah.

Beliau turut menyentuh pencalonan Nurul Izzah Anwar untuk jawatan tinggi dalam parti, sebagai bukti bagaimana naratif nepotisme kini dibenarkan apabila kuasa berada di tangan mereka yang pernah menolaknya dahulu.

Budaya ‘Yes Man’ makin parah

Mengulas lanjut mengenai struktur dalaman parti politik, Ridza menzahirkan kebimbangan terhadap budaya ‘yes man’ yang semakin menjadi-jadi.

“Ahli parti yang berani mengkritik dasar atau pimpinan akan dipinggir dan dibisukan, menjadikan parti sebagai penjara kepada idealisme dan kebenaran.

“Ahli politik yang kononnya pemimpin masyarakat sebenarnya adalah banduan tahanan dalam parti mereka sendiri,” katanya lagi

Beliau menyamakan keberanian ahli politik hari ini dengan berani dalam tandas sahaja, merujuk kepada luahan tidak puas hati yang hanya kedengaran dalam ruang tertutup dan bukan tindakan sebenar membawa perubahan.

Rakyat terus jadi mangsa

Menyentuh tentang realiti kehidupan rakyat yang semakin tertekan dengan kos sara hidup tinggi dan tadbir urus tempang, Ridza menegaskan bahawa kekecewaan itu adalah hasil pilihan rakyat sendiri.

“Rakyat memilih menu ini secara sukarela. Jadi jangan kecewa bila terasa ditipu,” katanya.

Menurut beliau, ramai ahli politik hanya memfokuskan kepada mendapatkan projek dan kontrak jutaan ringgit untuk kroni masing-masing, dengan menggunakan pelbagai saluran rasmi mahupun tidak rasmi.

Perlu keluar dari kepompong lama

Ridza menyeru agar rakyat dan seluruh pemain politik negara keluar daripada kerangka lama yang hanya menjulang parti tetapi melupakan matlamat sebenar untuk membela rakyat dan membina negara.

“Budaya politik kita sememangnya tidak sihat. Kita perlu keluar dari kepompong politik lama ini yang terus menawan kita dan negara sambil ketawa gembira,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 16/5/2025

- Advertisement -