
BANGI: Naib Ketua Pemuda PAS Bangi, Mohd Afif Firdaus berkata, Timbalan Presiden PKR, Dato’ Seri Mohd Rafizi Ramli sengaja menyebut nama PAS dalam siri ceramah Jelajah HIRUK bagi meraih perhatian media dan meningkatkan tontonan serta keterlibatan netizen.
Mohd Afif berkata, Rafizi telah menyebut nama PAS sebanyak tiga kali dalam tiga siri ceramahnya yang mengandungi sindiran, pujian dan kecaman, namun beliau berpendapat, tindakan itu lebih bersifat strategi untuk meningkatkan populariti di media sosial dan arus perdana.
“Kenapa dia sebut PAS? Sebab inilah cara untuk naikkan penilaian, skor tontotan dan penglibatan. Macam mana boleh naik semua tu? Pertama, apa sahaja tentang PAS biasanya media akan ambil untuk naik di halaman masing-masing.
“Kedua, adalah ahli PAS sendiri yang mudah untuk jawab, tindak balas dan yang paling geli hati berbangga sehingga mengaitkan dengan pemilihan parti sendiri,” katanya menerusi kenyataan, kelmarin.
Afif turut menegaskan bahawa kepimpinan dalam PAS tidak seharusnya dinilai semata-mata berdasarkan usia, sebaliknya kepada visi, misi dan gerak kerja yang dilaksanakan di setiap peringkat.
Mengulas mengenai kebergantungan kepada data politik, beliau mengingatkan bahawa ramalan dan data oleh Rafizi menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu telah terbukti meleset, terutama berkaitan prestasi PAS.
“Data Rafizi? Rafizi ada data dan pastinya pasukan strategi PAS ada juga data. Apa yang berlaku pada segala data Rafizi sebelum PRU15 terhadap PAS, ternyata meleset dan jauh panggang dari api.
“Maka apabila melihat data Rafizi, tak semestinya tolak terus tetapi bandingkan data yang kita ada dan juga gerak kerja kita. Pokoknya, tenang saja jangan termakan dengan propaganda dua figura dalam kerajaan yang sedang bercakaran,” katanya.
Justeru, beliau menggesa anak muda PAS agar tidak terikut dengan propaganda politik yang dimainkan oleh dua tokoh kerajaan yang kini dilihat saling bertelagah, sebaliknya membina naratif dan kekuatan sendiri.
“Binalah naratif dan idea kita sendiri, jangan asyik menumpang untuk naikkan diri sendiri,” katanya.
Terdahulu, Rafizi turut mengakui bahawa PAS kini dilihat lebih bersih dan konsisten berbanding PKR, khususnya dalam kalangan pengundi muda ketika dalam ucapan Jelajah HIRUK Zon Melaka dan Negeri Sembilan di Seremban, Negeri Sembilan pada Ahad lalu.
“Isu rasuah makin menjadi bahan kritikan dan ia disahkan bila kita tanya rakyat parti mana yang paling kamu percayai untuk menangani gejala rasuah di negara ini, majoriti mereka menjawab PAS, walaun boleh bertepuklah, tapi kita kena cakap perkara yang sebenar.
“Ada benda yang pimpinan PAS buat yang diterima oleh rakyat dan saya tidak terkejut kerana dia akan kata paling kurang PAS tak macam itu, bila dibandingkan pimpinan kita ini.
“Jadi kalau ditengok Gen Z yang rasa PAS boleh buat lebih baik 29 peratus tiga kali ganda dengan kita 8 peratus,” katanya yang juga Menteri Ekonomi itu. – HARAKAHDAILY 16/5/2025











