Tuan Guru Ahmad Ali berbicara perihal kepimpinan

Tuan Guru Ahmad Ali
- Advertisement -

ARAU: Adab, disiplin organisasi serta semangat taat kepada pimpinan merupakan asas penting yang mesti dipelihara dalam mengekalkan kekuatan jemaah Islam, demikian kata Ahli Majlis Syura Ulama PAS, Tuan Guru Ahmad Ali.

Beliau menyampaikan nasihat tersebut kepada para muslimat PAS yang hadir menziarahinya di kediaman beliau di sini, baru-baru ini.

- Advertisement -

Turut hadir dalam majlis itu ialah Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM), Ustazah Nuridah Mohd Salleh dan Ahli Jawatankuasa DMPM, Rashidah Arbain serta Ketua Dewan Muslimat PAS Perlis, Nor Shahirah Salleh serta pimpinan Dewan Muslimat kawasan-kawasan.

Peranan wanita dalam perjuangan Islam

Menurut Tuan Guru, sejarah telah membuktikan peranan besar wanita dalam perjuangan Islam sejak zaman Rasulullah SAW.

Ketika kewafatan baginda, hanya sekitar 200 Sahabat benar-benar menguasai ilmu syariah, dan antara yang paling menonjol ialah Saidatina Aisyah RA.

“Ini menjadi petunjuk bahawa wanita juga diberikan peranan dan keistimewaan oleh Allah dalam perjuangan Islam,” jelasnya.

Wanita dan kepimpinan

Tuan Guru turut mengangkat potensi wanita dalam aspek politik dan pentadbiran.

Beliau merujuk kepada Perjanjian Hudaibiyah di mana cadangan Ummu Salamah berjaya mengelakkan krisis kepatuhan dalam kalangan para sahabat.

“Apabila para Sahabat enggan menyembelih kambing kerana kecewa tidak dapat menunaikan umrah, Ummu Salamah mencadangkan agar Rasulullah memulakan dahulu tindakan itu. Akhirnya para Sahabat mengikutinya. Inilah erti ketaatan kepada pimpinan,” katanya.

Qias dalam kepimpinan

Mengimbas peristiwa selepas kewafatan Rasulullah SAW, beliau menyatakan bahawa Saidina Umar RA mencadangkan Saidina Abu Bakar RA sebagai khalifah kerana baginda pernah memilih Abu Bakar menjadi imam solat ketika gering.

“Para ulama menyatakan, ini asas kepada ilmu qias kepimpinan negara boleh diukur melalui kepimpinan dalam solat. Imam itu mesti ditaati dan dipercayai,” jelas beliau.

Namun, sekiranya imam melakukan kesilapan, makmum perlu menegur dengan adab dan cara yang betul, seperti menyebut ‘Subhanallah’, prinsip sama terpakai dalam organisasi teguran kepada pemimpin harus dibuat melalui saluran yang wajar.

“Saya bimbang kalau kita rasa kita pandai, kita tegur ikut suka. Tegurlah dalam masa yang sesuai dan ikut saluran, contohnya dalam mesyuarat. Bila keputusan sudah dibuat, kita kena ikut walaupun kita tak setuju,” tegas beliau.

Perpaduan lebih utama

Tuan Guru berkata, menjaga adab dan disiplin organisasi penting meskipun dalam keadaan mencabar.

“Saya pernah beri nasihat kepada Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Hashim Jasin supaya jangan mendahului Presiden, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (Ustaz Hadi) ketika baru dilantik menjadi Mursyidul Am, walaupun beliau lebih muda, saya lihat kepimpinan Ustaz Hadi ini susah nak cari ganti. Tegur boleh, tapi jangan pertikai,” katanya.

Beliau mengingatkan bahawa perjuangan menegakkan Islam bukan mudah, dan menjaga kemenangan jauh lebih sukar daripada mencapainya.

“Musuh akan cari jalan untuk melaga-lagakan kita. Jadi jangan beri ruang. Jangan ‘score goal’ di gelanggang sendiri,” pesannya dengan analogi mudah.

Beliau turut menggesa ahli agar sentiasa mendahulukan perpaduan dalam saf perjuangan, dan tidak terburu-buru dalam tindakan.

“Perbezaan kecil tolak ke tepi. Nak jaga kemenangan itu lebih penting. Ada masa kita laju, ada masa kita perlu ‘brake’,” ujar beliau.

Adab mendahului tindakan

Tuan Guru turut berkongsi pengalaman beliau ketika dijemput menjadi imam oleh seorang tok guru, yang pada awalnya beliau tolak kerana merendah diri.

“Tapi akhirnya saya juga diminta jadi imam. Orang alim ni, dia cakap dengan hati,” katanya.

Beliau menegaskan, adab dalam organisasi sangat penting, termasuk ketika berhadapan dengan tokoh berpangkat tinggi.

“Kalau orang bagi ruang bercakap, kita bercakap. Jangan menengking. Walaupun depan profesor, adab tetap kena jaga,” ujar beliau.

Tuan Guru turut mengingatkan bahawa sekiranya berlaku pertindihan antara adab dan tuntutan syarak, maka adab perlu diutamakan selagi tidak bercanggah dengan hukum.

Beliau menyeru semua pihak agar menjaga ukhuwah, bersangka baik dan bersedia menerima teguran.

“Kita bukan lawan musuh kecil. Di hadapan kita ada pelbagai jenis musuh. Jangan buka ruang perpecahan. Kalau tak puas hati, bawa dalam mesyuarat.

“Jangan main luar mesyuarat. Jaga adab, jaga susunan, jaga kemenangan,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 16/5/2025

- Advertisement -