
ALOR SETAR: Kerajaan negeri memberi fokus dan penumpuan kepada tujuh gagasan yang menjadi asas utama pelaksanaan dan perancangan jabatan serta agensi di bawah portfolio Agama Negeri, maklum Dato’ Ustaz Mohd Azam Abd Samat.
Perkara tersebut kata Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan itu, menjadi agenda pada Mesyuarat Jawatankuasa Tetap Agama Negeri Kedah, kali ini.
“Gagasan ini lahir daripada sesi ‘Town Hall’ pada tahun 2023, dan terus menjadi hala tuju bersama dalam usaha mengangkat martabat Islam di bumi Kedah yang dicintai ini,” jelas beliau.
Tujuh gagasan tersebut katanya ialah menjadikan pengurusan agama di negeri ini sebagai rujukan dunia, menjadikan seluruh daerah di Kedah subur dengan budaya ilmu dan memperkasa agenda kewangan Islam sebagai instrumen pembangunan.
Di samping itu jelasnya lagi, mengangkat usaha dakwah merentasi gender dan peringkat umur, memperkasa undang-undang syariah dan penyelesaian isu kekeluargaan, mengangkat martabat institusi pondok dan Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan kemenjadian pelajar daripada sekolah-sekolah di negeri Kedah.
“Setiap program yang telah, sedang dan akan dilaksanakan adalah langkah-langkah konkrit untuk merealisasikan impian besar ini,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Limau.
Justeru, beliau menharapkan semoga Allah SWT memberi petunjuk, taufik dan kekuatan kepada semua pihak dalam memikul tanggungjawab itu sebaiknya.
Mesyuarat itu turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kupang, Brigedier Jeneral (B) Dato’ Najmi Ahmad dan Ahli Parlimen Jerlun, Dr Abd Ghani Ahmad dan Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) Dato’ Syeikh Ismi Anuar Abdul Halim.
Termasuk wakil-wakil dari Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN), Mahkamah Syariah, Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) dan Yayasan Islam Negeri Kedah (YINK). – HARAKAHDAILY 15/5/2025











