TMPs lanjut ke 2026, Perlis sasar lonjak pelancongan

- Advertisement -

KANGAR: Tahun Melawat Perlis (TMPs) yang sepatutnya berakhir pada tahun 2025, kini dilanjutkan sehingga hujung tahun 2026 bagi memperkukuh sektor pelancongan negeri dan menyokong agenda pelancongan nasional.

- Advertisement -

Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli ketika mengumumkan perkara itu berkata, keputusan lanjutan itu dibuat selepas melihat sambutan memberangsangkan pelancong sejak pelancaran TMPs.

“Alhamdulillah, kita lanjutkan TMPs bagi menyahut seruan kerajaan pusat untuk menambah jumlah pelancong ke negara ini, sekali gus memberi manfaat langsung kepada ekonomi rakyat negeri ini,” katanya semalam.

Menurut beliau, Perlis menyasarkan kehadiran seramai 3.5 juta pelancong sepanjang tahun 2024, dan angka itu dijangka meningkat tahun hadapan berdasarkan perkembangan semasa dan reaksi positif terhadap program pelancongan negeri.

“Kita lihat indikator seperti tempahan penuh di inap desa (homestay), hotel dan restoran menjadi petanda bahawa Perlis semakin mendapat tempat sebagai destinasi pelancongan utama,” ujarnya.

Antara acara yang menarik perhatian pelancong termasuklah Perkampungan Sunnah, yang menurut beliau telah berjaya menarik kehadiran besar pengunjung dari dalam dan luar negeri.

Menyedari impak positif tersebut, kerajaan negeri akan memperbanyakkan lagi penganjuran program-program menarik sepanjang lanjutan TMPs, di samping menyusun semula program secara sistematik bagi mengelakkan pertindihan.

“Kita akan tambah lagi program baharu yang lebih kreatif dan bersesuaian. Kita juga akan selaraskan dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) supaya program ini selari dengan Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.

Tambah beliau, pelancong bukan sahaja tertarik dengan keindahan alam semula jadi Perlis, malah turut menikmati keunikan makanan tempatan yang kini menjadi tarikan baharu pelancongan.

“Kita mahu pelancong datang dan duduk lebih lama. Bila mereka lama di sini, ia memberi impak ekonomi kepada rakyat dan menjimatkan kos promosi jangka panjang,” katanya lagi.

Mohd Shukri turut memaklumkan bahawa beberapa destinasi pelancongan baharu akan diumumkan tidak lama lagi bagi menambah pilihan tarikan pelancong ke negeri ini.

Kerajaan negeri kini dalam usaha menilai dan membangunkan lokasi-lokasi tersebut sebagai produk pelancongan berimpak tinggi, termasuk lokasi berasaskan alam semula jadi dan warisan budaya.

“TMPs ini bukan sekadar promosi, tetapi pelaburan jangka panjang untuk menjadikan Perlis destinasi pelancongan yang berdaya saing dan mampan,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/5/2025

- Advertisement -