Belia: Perlu kerangka baharu, bukan lagi model BN

Saifuddin: MBM ‘sekolah politik’

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Luar, Dato’ Sri Saifuddin Abdullah hari ini menggesa agar Malaysia meninggalkan model politik lama yang diasaskan oleh Barisan Nasional (BN), dan sebaliknya membina kerangka baharu berasaskan centripetalism – satu pendekatan politik yang menurutnya lebih inklusif dan sederhana.

Dalam kenyataan sempena Hari Belia Negara 2025, Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota berkata, demokrasi pelbagai kaum dan moderat perlu menjadi asas pembaharuan politik di Malaysia, dengan mengambil inspirasi daripada peranan besar Majlis Belia Malaysia (MBM) dalam membentuk kepimpinan negara sejak 1948.

“MBM ialah sekolah politik Malaysia yang ampuh. Ekosistemnya – dari keanggotaan, kepimpinan hingga program advokasinya – bercirikan pelbagai kaum dan moderat. Inilah manhaj demokrasi Malaysia yang sebenar,” katanya.

- Advertisement -

Beliau yang juga bekas Presiden MBM turut menyentuh kegagalan pendekatan consociationalism – atau perkongsian kuasa antara elit politik – yang sinonim dengan era BN, dan mencadangkan agar landskap politik negara digerakkan ke arah model yang lebih segar dan rakyat-sentris.

Saifuddin menyarankan tiga bentuk ‘insentif’ bagi membina demokrasi matang.

“Pilihan raya pelbagai kaum – ahli politik perlu meraih undi rentas kaum, sekali gus menyederhanakan naratif mereka.

“Perundingan terbuka – ruang seperti townhall, dialog dan rundingan pelbagai pihak perlu digiatkan.

“Parti politik rentas etnik – parti perlu lebih inklusif dalam keahlian dan dasar yang ditawarkan,” ujarnya.

Dalam kenyataan sama, beliau juga menekankan pentingnya prinsip Islam seperti ta’aruf, rahmatan lil ‘alamin dan wasatiyyah diterjemah dalam kerangka politik moden, terutama dalam negara majmuk seperti Malaysia.

“Malaysia memerlukan pemikiran politik yang lebih matang, segar dan sesuai dengan realiti masa depan,” katanya.

Sambutan rasmi Hari Belia Negara tahun ini dijadual berlangsung bulan depan, namun 15 Mei tetap diraikan sebagai tarikh simbolik pengiktirafan peranan generasi muda. – HARAKAHDAILY 15/5/2025

- Advertisement -