Ustazah Nuridah penuhi aktiviti bersama Muslimat Perlis

- Advertisement -

KANGAR: Gelombang AKIFI anjuran Dewan Muslimat PAS Malaysia dengan kerjasama Dewan Muslimat PAS Negeri Perlis berjaya menghimpunkan lebih 40 ahli Muslimat dari seluruh negeri ini.

- Advertisement -

Rutin tarbawi ini mwnjadi satu medan pengukuhan ukhuwah, penghayatan tarbiah dan penyatuan fikrah perjuangan Islam.

Program dimulakan dengan sesi Ziarah Mahabah ke atas Ahli Majlis Syura Ulama PAS, Tuan Guru Ahmad Ali di kediamannya di Arau, sebagai simbolik penghargaan terhadap sumbangan besar para ulama dalam perjuangan Islam.

Ziarah ini turut disertai oleh Ketua Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Mohd Salleh da  Ahli Jawatankuasanya, Rashidah Arbain serta Ketua Muslimat PAS Perlis, Nor Shahirah Mat Salleh serta barisan kepimpinan Muslimat PAS dari pelbagai kawasan dan DUN.

Delegasi Muslimat turut diraikan dengan jamuan istimewa nasi lemuni, sambal ikan bilis, gulai ikan utara dan sambal daun kari, sajian tradisional yang menghidupkan suasana mesra kekeluargaan dan nilai budaya tempatan.

Rombongan setelah itu mengadakan Ziarah Kasih Sayang di DUN Bintong yang diselaraskan bersama Dewan Muslimat PAS Kawasan dan jentera DUN setempat sebagai tanda cakna dan prihatin kepada masyarakat.

Antara yang disantuni termasuklah Saodah Mat, 89, yang kini uzur akibat sakit tua dan dijaga cucunya; serta Nurul Afida Abd Rahim, 40, yang baru menjalani pembedahan fibroid.

Kehadiran Muslimat bukan sahaja membawa bantuan fizikal, tetapi juga semangat dan sokongan moral buat mereka yang diziarahi, manakala pada sebelah petang, program diteruskan di Markas PAS Batu 2, Kangar yang menjadi lokasi utama perhimpunan Gelombang AKIFI.

Lebih 40 peserta terdiri daripada ahli Muslimat pelbagai latar belakang kawasan berhimpun bagi menghayati pengisian rohani yang dirangka khas untuk memperkukuhkan jati diri Muslimat sebagai sayap penting perjuangan.

Program dimulakan pada jam 3:15 petang dengan solat hajat, bacaan Surah Yasin dan munajat secara berjemaah.

Suasana penuh pengharapan dan keinsafan menyelubungi markas tatkala para peserta menadah tangan memohon keberkatan serta pertolongan Allah SWT dalam mengharungi perjuangan Islam.

Majlis juga mendengar ucapan amanat penuh semangat daripada Ustazah Nuridah atau lebih dikenali sebagai Kak Nuri, yang menyeru seluruh Muslimat agar mempertingkatkan ilmu, tarbiah dan kekuatan ukhuwah.

Para peserta turut disajikan dengan jamuan laksa Kuala Perlis yang bukan sahaja menyelerakan, malah menjadi medium mengeratkan silaturahim antara ahli dari pelbagai kawasan.

Gelombang AKIFI bukan sekadar perhimpunan, tetapi medan pengukuhan prinsip, kesatuan jamaah dan iltizam dakwah Muslimat PAS Perlis yang semakin mantap dalam menghadapi cabaran ummah. – HARAKAHDAILY 15/5/2025

- Advertisement -