PKR bukan lagi parti derita, tapi buat rakyat derita

- Advertisement -

KETIKA rakyat marhaen terus bergelut membayar sewa rumah, menahan nafas dengan harga ayam dan sayur yang makin mencanak, segelintir pemimpin politik nampaknya semakin selesa — bukan di medan derita rakyat, tetapi di pentas majlis makan malam hotel lima bintang.

- Advertisement -

Datuk Seri Shamsul Iskandar, pemimpin lama dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan orang kanan Perdana Menteri berkongsi dengan penuh emosi satu hantaran di laman Facebooknya, meraikan kemenangan pasukan “KEADILAN Memimpin” dalam satu majlis makan malam mewah anjuran Cabang Hang Tuah Jaya. Kononnya majlis itu bagi menghargai “kerja senyap tetapi jitu” para pejuang cabang yang menang dengan “tertib dan maruah”.

Namun malangnya, apa yang dilihat oleh rakyat bukan “kerja senyap”, tetapi “duit senyap”. Ratusan komen daripada netizen membanjiri hantaran tersebut dengan satu soalan paling asas tetapi memeritkan: “Dari mana datangnya duit untuk majlis macam ini? Hotel mewah siapa bayar?”

Lebih mencuit hati, kritikan bukan datang dari luar parti semata-mata. MP Subang sendiri — yang juga Ahli Parlimen PKR — sebelum ini secara terbuka mempersoalkan dari mana datangnya dana besar untuk mengadakan majlis-majlis kempen, makan malam dan perjumpaan elit di hotel-hotel mewah sepanjang musim pemilihan parti. Apakah “sumbangan ikhlas” dari akar umbi itu benar-benar mencukupi untuk menanggung semua ini, atau ada “sumber khas” yang tak pernah didedahkan?

Slogan lama PKR — “Parti Derita Rakyat” — nampaknya kini tinggal kenangan. Reformasi kini telah bertukar rupa:
Dulu turun ke jalan pakai selipar, sekarang naik pentas pakai blazer.
Dulu jamuan di warung, sekarang buffet antarabangsa.
Dulu lawan toke, sekarang duduk semeja dengan toke.

Hakikatnya, sejarah politik dunia telah menyaksikan bahawa parti-parti yang lupa asal-usul perjuangan sering dihukum oleh rakyat.

Hakikatnya, sejarah politik dunia telah menyaksikan bahawa parti-parti yang lupa asal-usul perjuangan sering dihukum oleh rakyat. Lebih tragis, ada parti-parti yang pada mulanya diangkat tinggi sebagai penyelamat dan pengganti kepada parti lama yang telah lama berakar umbi, tetapi akhirnya mereka sendiri ditolak dalam masa yang cukup singkat — kerana kesombongan, ketamakan, atau kegagalan menunaikan janji reformasi.

Lihat saja Parti SYRIZA di Greece yang memenangi pilihan raya umum Greece pada Januari 2015 dengan janji menamatkan dasar penjimatan yang dikenakan oleh Kesatuan Eropah. Namun, selepas menerima syarat-syarat bailout yang ketat, parti ini kehilangan sokongan rakyat. Walaupun memenangi semula pilihan raya pada September 2015, populariti SYRIZA terus merosot, dan pada 2019, mereka tewas kepada parti konservatif New Democracy.

Begitu juga Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI) di Pakistan di bawah pimpinan Imran Khan, memenangi pilihan raya umum 2018 dengan kempen anti-rasuah dan janji pembaharuan. Namun, dalam tempoh empat tahun, kerajaan PTI menghadapi krisis ekonomi, inflasi tinggi, dan kehilangan sokongan sekutu koalisi. Pada April 2022, Imran Khan digulingkan melalui undi tidak percaya di parlimen.

Jenguk juga Five Star Movement (M5S) di Itali yang muncul sebagai gerakan populis anti-establishment dan memenangi pilihan raya umum 2018, membentuk kerajaan campuran. Namun, dasar yang tidak konsisten dan konflik dalaman menyebabkan sokongan terhadap parti ini merosot. Menjelang 2024, M5S hanya memperoleh kurang daripada 12% sokongan dalam tinjauan pendapat.

Kisah-kisah ini menunjukkan bahawa kemenangan dalam pilihan raya bukanlah jaminan kekal. Parti-parti yang gagal menunaikan janji, terlibat dalam korupsi, atau kehilangan sentuhan dengan rakyat akan cepat dihukum oleh pengundi. Adalah penting bagi mana-mana parti politik untuk sentiasa ingat asal-usul perjuangan mereka dan tidak terperangkap dalam kemewahan kuasa.

Malah, Pakatan Harapan sendiri — yang dianggotai PKR — diberi mandat bersejarah pada PRU14, namun ditolak rakyat selepas hanya 22 bulan memerintah. Ini bukan teori — ini realiti pahit yang seolah-olah gagal diinsafi. dalam demokrasi, kuasa adalah amanah rakyat. Apabila amanah itu dikhianati, rakyat tidak akan teragak-agak untuk menarik balik sokongan mereka.

Justeru, jika pimpinan PKR menganggap kemenangan dalam pemilihan cabang dan majlis makan malam mewah sebagai bukti kekuatan, mereka patut semak kembali sejarah. Rakyat tidak pernah lupa. Mereka boleh bangkit dan menumbangkan sesiapa sahaja yang alpa.

Kerana dalam demokrasi, kemenangan bukan milik kekal sesiapa. Lebih-lebih lagi bila perjuangan ditukar dengan kemewahan. Maka benarlah, PKR bukan lagi Parti Derita — tetapi semakin hampir menjadi Parti Yang Buat Rakyat Menderita.

Oleh SIBAWEIH – HARAKAHDAILY 15/5/2025

- Advertisement -