
ALOR SETAR: Tanggal 15 Mei 1948 merupakan tarikh bersejarah yang menjadi detik hitam berpanjangan buat umat Islam, khususnya di bumi Palestin.
Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata, malapetaka besar iaitu peristiwa Nakbah yang menghantui rakyat Palestin itu, kini telah memasuki tahun penjajahan ke-77 tahun.
“Sehingga ke hari ini, mereka masih terus dibelenggu oleh kekejaman rejim Zionis laknatullah.Oleh itu, sempena Hari Memperingati Peristiwa Nakbah ini, marilah kita bersatu menunjukkan solidariti terhadap rakyat Palestin.
“Sama ada melalui tindakan seperti memboikot, menghentikan pelaburan dan urus niaga yang menyumbang kepada kekuatan rejim Zionis dan lain-lain berkaitannya,” jelas beliau pada kenyataan yang dimuatnaik di media sosialnya, di sini, hari ini.
Tegas Sanusi lagi, umat Islam perlu tonjolkan peranan dan tanggungjawab sebagai saudara seagama yang cakna dan peduli akan penderitaan mereka di bumi Palestin.
“Masing-masing boleh menyoal diri sendiri, adakah benar-benar peduli dengan kesengsaraan saudara kita di sana, atau masih leka mengejar kemewahan dunia yang bersifat sementara?” soal beliau.
Justeru itu beliau berharap, semoga Hari Memperingati Peristiwa Nakbah ini menjadi peringatan bersama untuk terus bangkit memperjuangkan hak dan maruah umat Islam.
Peristiwa Nakbah atau juga disebut Hari Bencana adalah titik hitam dalam sejarah umat Islam apabila pasukan bersenjata Zionis mengisytiharkan penubuhan negara Israel.
Rejim itu lalu mencetuskan perang Arab-Israel yang pertama setelah mendapat sokongan Kerajaan British untuk mewujudkan negara Yahudi di Palestin.
Peristiwa berdarah itu juga dikenali sebagai Nakba 1948 di mana pada hari ini 15 Mei menandakan 77 tahun berlakunya tragedi itu dan bagi kebanyakan warga Palestin, mimpi ngeri itu bagaikan tidak pernah ternoktah.
Pada peristiwa itu, ribuan keluarga yang terpaksa melarikan diri dalam kegelapan malam, memikul beg dan bungkusan harta benda yang sempat dicapai.
Si tua terbongkok-bongkok menanggung beban, yang kecil kekeliruan dan menangis ketakutan dan kunci rumah disimpan dalam saku atau digantung di leher, barangkali menyimpan harap untuk kembali suatu hari nanti.
Namun kebanyakan mereka akhirnya terpaksa mencari tempat berteduh dalam barisan khemah yang didirikan atas tanah berdebu dikelilingi kehancuran.
Khemah itu ada kelihatan usang, namun baharu di hati mereka tetapi hakikatnya, tiada satu pun yang mampu melindungi penghuninya daripada panas terik, kedinginan hujan mahupun musim sejuk.
Pemandangan menyayat hati seperti inilah yang biasa dilihat selama berlakunya genosid di Gaza, diabadikan dalam rakaman video ditayangkan di kaca televisyen dan media sosial dan kemudiannya terpahat diingatan sekelian yang menonton. – HARAKAHDAILY 15/5/2025











