Kerajaan Negeri Pahang digesa haramkan vape

- Advertisement -

KUANTAN: Dewan Pemuda PAS Pahang menggesa kerajaan negeri menggubal undang-undang bagi mengharamkan penjualan dan penggunaan rokok elektronik (vape) di negeri ini, khususnya bagi melindungi generasi muda daripada ancaman ketagihan nikotin.

- Advertisement -

Ketua Pemuda PAS Pahang, Ustaz Mohd Zarimi Abu Zih Al-Hafiz berkata, trend penggunaan vape yang semakin berleluasa dalam kalangan remaja dan pelajar sekolah amat membimbangkan dan memerlukan tindakan segera daripada pihak berkuasa.

“Isu ini kini menjadi satu ancaman serius terhadap kesihatan awam, kesejahteraan sosial dan masa depan generasi muda Pahang. Lebih membimbangkan, penyebaran produk vape yang mengandungi nikotin berlaku secara terbuka.

“Termasuk di platform digital dan kedai fizikal, tanpa kawalan yang mencukupi. Penggunaan vape dalam kalangan kanak-kanak sekolah semakin membimbangkan.

“Sekali gus menunjukkan kelemahan dalam aspek penguatkuasaan dan kawal selia di peringkat negeri,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, Pemuda PAS Pahang turut menjunjung titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menzahirkan keprihatinan terhadap isu vape dan menyeru langkah proaktif diambil demi membendung penyebarannya.

“Titah Baginda adalah isyarat jelas kepada semua pihak, khususnya kerajaan negeri, untuk bertindak segera demi melindungi rakyat,” katanya.

Pihaknya menggesa Menteri Besar Pahang dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri khususnya yang memegang portfolio Kesihatan dan Pendidikan, agar mencontohi langkah negeri-negeri lain.

“Seperti Johor, Kelantan, Terengganu dan terbaru Perlis yang telah melaksanakan larangan terhadap vape sebagai langkah pencegahan yang berkesan.

“Kerajaan negeri perlu memperkasa penguatkuasaan undang-undang dan pemantauan di peringkat daerah dan komuniti, termasuk mengekang penjualan vape kepada golongan bawah umur.

“Seterusnya, menggerakkan kempen kesedaran secara menyeluruh melalui kerjasama antara jabatan kerajaan, institusi pendidikan, NGO, masjid serta komuniti setempat bagi memberi penerangan tentang bahaya penggunaan vape,” katanya.

Menurut Zarimi, usaha tersebut sejajar dengan prinsip Maqasid Syariah dalam memelihara nyawa dan akhlak dan merupakan pelaburan jangka panjang untuk kesejahteraan negeri Pahang.

“Dewan Pemuda PAS Pahang menegaskan komitmen kami untuk terus memainkan peranan sebagai rakan strategik dan pendesak yang konstruktif kepada kerajaan.

“(Khususnya) dalam usaha memelihara masa depan anak muda dan memartabatkan negeri Pahang sebagai negeri yang bersih daripada gejala ketagihan moden,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/5/2025

- Advertisement -