Perlis haramkan vape: Keputusan yang berani

- Advertisement -

KANGAR: Langkah tegas Kerajaan Negeri Perlis mengharamkan penjualan vape mulai 1 Ogos 2025 mendapat sokongan padu daripada Dewan Pemuda PAS Perlis yang menyifatkan keputusan itu sebagai tindakan berani demi menyelamatkan masa depan generasi muda.

- Advertisement -

Ketua Pemuda PAS Perlis, Haziq Asyraf Dun berkata, pengumuman mencerminkan keprihatinan dan ketegasan kerajaan negeri dalam menangani isu ketagihan moden yang semakin menular dalam kalangan masyarakat, terutamanya remaja.

“Langkah ini bukan sahaja wajar dipuji, malah perlu disokong secara menyeluruh oleh semua lapisan masyarakat termasuk ibu bapa, pendidik, pengamal perubatan dan pihak berkuasa.

“Gejala penggunaan vape semakin membimbangkan, malah pelajar sekolah pun sudah ramai yang terjebak dengan aktiviti ini tanpa kawalan,” ujarnya dalam satu kenyataan media, semalam

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beseri berkata, tindakan itu bukan sekadar soal penguatkuasaan, tetapi juga berkait rapat dengan tanggungjawab menjaga maqasid syariah yang lima iaitu agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.

“Pengharaman ini jelas bertujuan memelihara akal dan nyawa manusia. Sudah banyak kes dilaporkan yang menunjukkan kerosakan paru-paru akibat penggunaan vape, ketagihan nikotin, malah penyalahgunaan bahan terlarang yang boleh merosakkan akal fikiran,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, pihaknya melihat keputusan tersebut sebagai satu bentuk pelaburan sosial jangka panjang dalam membina masa depan negara.

“Melindungi generasi akan datang bermula dengan menyekat unsur-unsur yang melemahkan fizikal dan mental mereka. Anak muda hari ini adalah pemimpin masa depan. Jika mereka rosak akibat budaya ketagihan moden, maka rosaklah hala tuju negara,” tegas beliau.

Tambahnya lagi, walaupun terdapat pihak yang cuba menormalisasikan vape sebagai alternatif kepada rokok, bukti saintifik menunjukkan bahawa kedua-duanya membawa risiko kesihatan yang tinggi dan tidak wajar dijadikan sandaran.

“Vape bukan sekadar ‘kurang bahaya’ dari rokok. Hakikatnya, ia tetap membawa kesan negatif. Perisa dan kandungan kimia dalam vape yang dijual secara terbuka tidak dikawal dengan ketat dan tidak diuji secara klinikal.

“Ini mengundang mudarat besar kepada pengguna terutama remaja,” ujarnya.

Justeru itu, beliau menyeru semua anak muda di negeri Perlis khasnya, untuk melihat pengharaman vape ini sebagai satu titik tolak kepada perubahan gaya hidup yang lebih sihat dan bermaruah.

“Vape bukan simbol kemodenan. Ia adalah perangkap ketagihan yang menyesatkan. Jangan biarkan diri kita ditipu oleh imej moden yang palsu. Marilah kita jauhi vape demi kesejahteraan diri, keluarga dan negara,” katanya.

Dewan Pemuda PAS Negeri Perlis turut menyatakan komitmen penuh mereka untuk membantu menjayakan dasar ini melalui aktiviti advokasi, penerangan dan pendidikan akar umbi yang berterusan.

“Kami ucapkan tahniah dan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Negeri Perlis atas keberanian dan kebijaksanaan dalam membuat keputusan ini.

“Pemuda PAS Perlis akan terus berada di barisan hadapan dalam usaha mendidik masyarakat terutama golongan muda agar bebas daripada jerat vape dan ketagihan moden yang lain,” ujarnya lagi – HARAKAHDAILY 15/5/2025

- Advertisement -