
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia menggesa semua kerajaan negeri mencontohi langkah tegas yang diambil Kerajaan Negeri Perlis dalam mengharamkan penjualan vape di seluruh premis di negeri itu mulai 1 Ogos 2025.
Ketuanya, Ustaz Afnan Hamimi Dato’ Taib Azamudden berkata, langkah diambil Perlis, Terengganu dan Johor perlu dijadikan contoh progresif demi menjamin kesihatan awam, melindungi generasi muda serta memelihara masa depan negara daripada bahaya vape yang semakin meruncing.
“Pemuda PAS Malaysia menggesa kerajaan-kerajaan negeri lain untuk mencontohi langkah progresif yang telah diambil oleh Kerajaan Negeri Perlis, Terengganu dan Johor dalam mengharamkan penjualan vape.
“(Ia) demi menjamin kesihatan awam, melindungi generasi muda, dan memelihara masa depan negara daripada bahaya yang semakin meruncing ini,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Kerajaan Negeri Perlis atas keputusan berani dan berpandangan jauh itu, yang disifatkan sebagai tindakan melindungi rakyat, khususnya golongan muda, daripada kesan negatif penggunaan vape.
“Tindakan ini wajar dipuji kerana mencerminkan kepimpinan yang berpandangan jauh dalam melindungi rakyat, khususnya golongan muda, daripada bahaya dan kesan negatif penggunaan vape yang semakin membimbangkan,” katanya.
Ahli Parlimen Alor Setar itu berkata, keputusan itu turut selari dengan saranan Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM) yang mahu tindakan lebih tegas diambil untuk membendung ketagihan nikotin dan mencegah risiko penyalahgunaan dadah.
“Langkah tersebut juga sejajar dengan saranan Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM) yang menegaskan perlunya tindakan tegas daripada kerajaan untuk mengharamkan vape secara menyeluruh, bagi mengekang ketagihan nikotin dan mencegah risiko penyalahgunaan dadah dalam kalangan generasi muda,” terangnya.
Menurut beliau, kerajaan juga perlu mempertimbangkan kesan ekonomi jangka panjang kerana kajian menunjukkan kos rawatan bagi penyakit berkaitan vape seperti EVALI boleh mencapai hampir RM150,892.11 bagi seorang pesakit yang dirawat selama 12 hari.
“Tanpa kawalan yang tegas, kos ini dijangka melonjak kepada RM369 juta setahun menjelang 2030,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/5/2025











