Nahas trak FRU: Kerajaan digesa bertindak tegas

Ketelusan sistem pemeriksaan kenderaan berat perlu disemak

TELUK INTAN: Tragedi kemalangan melibatkan trak Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Teluk Intan yang mengorbankan lapan anggota polis terus mencetuskan reaksi pelbagai pihak.

- Advertisement -

Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi PAS Pusat, Ir Ts Nurul Islam Mohamed Yusoff yang menggesa kerajaan mengambil tindakan segera dan tegas bagi menangani punca sistemik di sebalik insiden tersebut.

Dalam satu kenyataan di media sosial, beliau merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa serta mendoakan kesembuhan anggota yang masih dirawat.

Namun, lebih penting katanya, Kerajaan Madani perlu melihat tragedi ini sebagai isyarat jelas perlunya reformasi menyeluruh terhadap aspek keselamatan pengangkutan berat serta kebajikan penjawat awam.

“Saya faham semua kenderaan boleh rosak. Tapi lori dan bas ni kenderaan kategori muatan besar. Bila berlaku kemalangan, kesannya besar. Kalau kapal terbang ada SOP ketat, kenapa lori dan bas tidak dipantau seketat itu?” soal beliau.

Merujuk maklumat awal siasatan polis yang mendapati trak FRU dirempuh sebuah lori membawa muatan batu akibat masalah stereng, Nurul Islam mempersoalkan ketelusan sistem pemeriksaan kenderaan berat.

Menurutnya, kegiatan penipuan pemeriksaan kenderaan masih berleluasa, termasuk penggunaan alat ganti sewa khas untuk lulus pemeriksaan Puspakom dan penggunaan tayar celup yang membahayakan pengguna jalan raya.

Beliau mencadangkan satu operasi bersepadu melibatkan Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia bagi menyiasat rangkaian pembekal alat ganti substandard serta bengkel dan pemilik lori yang terlibat.

“Ambil tindakan tegas; sita lori, batalkan lesen perniagaan. Bila tiada permintaan, barulah tiada penawaran. Logik mudah,” katanya lagi.

Selain isu kenderaan, beliau turut menimbulkan kebimbangan terhadap aspek keselamatan penumpang dalam trak agensi penguatkuasaan.

“Sudah terlalu lama isu ini berlarutan. Trak FRU, trak tentera, trak polis bawa banduan, semuanya tiada tali pinggang keselamatan. Malah kadang-kadang muatan pun berlebihan.”

Beliau menyarankan agar kenderaan yang membawa penumpang dalam jumlah ramai diganti dengan bas yang lengkap sistem keselamatan, termasuk tali pinggang mengikut kapasiti.

“Jangan angkut manusia macam angkut kambing. Kita bukan ada tujuh nyawa,” tegas beliau.

Dalam pada itu, beliau turut merujuk insiden serupa pada tahun 1990 di mana 11 anggota FRU maut akibat kegagalan brek bas di Lebuhraya Karak, sebagai bukti bahawa isu keselamatan kenderaan berat bukan perkara baharu.

Beliau menzahirkan kekecewaan terhadap perbezaan ketara antara amalan penguatkuasaan di negara ini berbanding negara Eropah.

“Di sana, lori bersih, well-maintained, dan tertutup rapat. Kalau melanggar peraturan, terus disita on the spot. Tapi di sini, lori tak cukup sifat pun boleh selamba atas jalan.

“Justeru Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution wajib segera mengambil tindakan konkrit.

“Sudah tiba masanya kebajikan penjawat awam dan keselamatan pengguna jalan raya diutamakan,” katanya sambil menyeru seluruh rakyat menghadiahkan al-Fatihah buat mangsa.

Terdahulu, lapan anggota polis terkorban manakala beberapa lagi cedera dalam nahas melibatkan trak FRU dan sebuah lori muatan batu di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan. – HARAKAHDAILY 15/5/2025

- Advertisement -