
KUALA LUMPUR: Cadangan pelaksanaan Akta Pembaharuan Bandar (URA) masih belum dilihat sebagai satu perkara serius dalam kalangan orang ‘kita’, tegas kumpulan Profesional Istiqamah.
Menurut kumpulan itu, sikap terlalu selesa dan baik sangka terhadap ‘orang lain’ menyebabkan bangsa Melayu gagal melihat ancaman tersirat di sebalik pelaksanaan akta berkenaan.
“Begitulah sikap ‘orang kita’, terlalu selesa dan baik sangka terhadap ‘orang lain’. Walhal pisau belati bersalut racun telah sekian lama diacu di belakang tengkuk ‘kita’,” ujar kenyataan itu.
Profesional Istiqamah berkata, kebimbangan terhadap URA mempunyai asas wajar dan boleh dilihat melalui isu Kampung Sungai Baru, yang terletak di Kampung Baru, Kuala Lumpur.
“Bagaimana identiti dan keberadaan kaum Melayu khususnya di bandar besar negara terhakis dan terluput. Ethnosid bangsa Melayu sedang dijalankan secara halus dan terancang,” jelas mereka.
Menurut kenyataan itu, tanah di kawasan Kampung Sungai Baru telah diambil pihak berkuasa menerusi Akta Pembangunan Tanah 1960 atas dasar membangunkan projek, namun pembangunan baharu itu mengorbankan imej dan identiti kampung berkenaan.
“Meskipun pembangunan baharu dibuat, namun ia dibuat dengan mengorbankan imej dan identiti Kampung Sungai Baru dan Kampung Baru yang menjadi bukti keberadaan bangsa Melayu di Kuala Lumpur,” terangnya.
Kumpulan itu turut memetik maklumat daripada Jawatankuasa Hak Penduduk Kampung Sungai Baru bahawa tanah di kawasan berkenaan adalah tanah rezab Melayu ‘Malay Agricultural Settlement’ (MAS) yang sepatutnya dilindungi daripada pengambilan tidak wajar.
“Perlu difahami, inilah perkara yang perlu dirisaukan orang ‘kita’. Ia bukan soal tidak mendapat pampasan atau rumah gantian, ia soal identiti asli bangsa ‘kita’ telah terhakis secara halus atas dasar ‘pembangunan’. Risiko ini turut hadir jika URA dilaksanakan,” kata kenyataan itu.
Profesional Istiqamah turut membangkitkan bahawa terdapat hampir 500 tapak kawasan di negara ini yang berpotensi dibangunkan di bawah URA dan mempertikai jaminan kerajaan terhadap perlindungan hak dan identiti Melayu.
“Apa jaminan pemerintah jika URA dilaksanakan?” soal kenyataan itu.
Kumpulan itu turut menggesa masyarakat Melayu menilai pelaksanaan akta itu secara lebih mendalam dan berhati-hati memandangkan individu yang mencadangkannya dikatakan mempunyai sejarah cauvinis dan anti-Islam.
“Aktor yang mencadangkan akta ini adalah satu sosok yang cukup terkenal dengan sikapnya yang cauvinis dan anti Islam dan orang ‘kita’,” dedah kenyataan itu.
Menurut mereka, individu berkenaan berasal dari parti cauvinis yang sering menzahirkan hasrat jangka panjang untuk mengukuhkan identiti bangsanya dan bersikap kiasu terhadap bangsa lain.
“Lihat sahaja permintaan konsisten mereka agar Kampung Baru Cina di Perak diberikan hak pemilikan tanah selama 999 tahun. Terbaru, apabila sosok ini berjaya menjadi Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan.
“Dia secara biadab dan licik menyusun langkah memastikan kampung baru warisan penjajah menerusi Rancangan Briggs yang tidak sampai 100 tahun ini dijadikan warisan UNESCO,” katanya.
Sehubungan itu, Profesional Istiqamah menegaskan bahawa penolakan terhadap URA bukanlah satu konspirasi, sebaliknya langkah membuat unjuran terhadap masa depan bangsa Melayu.
“Jika akta seperti URA dilaksanakan, maka satu lagi ruang dan lompong dalam penghakisan identiti bangsa ‘kita’ akan terjadi. Rancangan ‘ethnosid’ orang ‘kita’ terus berjalan dalam keadaan orang kita terus leka.
“Insaf dan bangkit wahai orang ‘kita’ bangsa Melayu! Jangan menjadi mangsa ‘ethnosid’ terancang. Tanah ini milik kita, rakyat biasa. Bukan milik bangsa kapitalis cauvinis.
“Bangsa ‘kita’ sudah kehilangan Tanjung (Georgetown) dan Melaka, apakah sanggup lagi 50 tahun, kita hilang lebih banyak bandar-bandar dan tanah kita?” tegas kumpulan itu. – *HARAKAHDAILY 15/5/2025*











