
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal membidas laporan media yang disifatkannya telah memutar belit fakta berhubung lawatan rasmi Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim (PMX) ke Moscow, Rusia.
Menurut beliau, media tempatan telah memberi gambaran seolah-olah Anwar merupakan Perdana Menteri Malaysia pertama yang menerima kawalan kehormat rasmi di Moscow, malah ada menyebut dalam dua dekad terakhir.
“Ini satu bentuk spin yang dipaksa ke atas media demi memenuhi ‘grandstanding’ Dato’ Seri Anwar Ibrahim,” katanya merujuk kepada kenyataan mantan diplomat Singapura, Bilahari Kausikan.
Tambah beliau, fakta menunjukkan bahawa mantan Perdana Menteri Kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi pernah menerima layanan kenegaraan yang sama oleh Presiden Rusia, Vladimir Putin ketika kunjungan hormat Almarhum ke Moscow pada 2007.
“Tun Mahathir juga menerima layanan yang sama ketika lawatan beliau ke Moscow pada 1987 yang ketika itu di bawah USSR (Kesatuan Soviet) bertemu dengan (Mikhail) Gorbachev.
“Malaysia dan Rusia sentiasa punya jalinan yang istimewa. Mana-mana pemimpin tertinggi negara kita akan menerima layanan kehormat yang sama. Hentikan sandiwara politik ‘grandstanding’ ala Madani ini demi kebaikan sejagat.
“Takut asyik kena perli lagi orang jiran tetangga sampai dibisukan terus Pejabat Perdana Menteri dan Wisma Putra kita dibiarkan maruah Perdana Menteri dihinjak sebegitu rupa,” katanya.
Terdahulu, Anwar dijadual mengadakan lawatan selama empat hari ke Rusia bermula dari 13 hingga 15 Mei.
Ia merupakan lawatan kedua beliau sejak memegang jawatan pada November 2022, selepas yang pertama pada September tahun lalu. – HARAKAHDAILY 15/5/2025











