Perlis haramkan premis jualan vape mulai 1 Ogos

- Advertisement -

KANGAR: Kerajaan Negeri Perlis mengambil langkah tegas dan berpandukan prinsip syariah dengan mengharamkan sepenuhnya penjualan vape melalui premis fizikal di seluruh negeri bermula 1 Ogos 2025.

- Advertisement -

Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berkata, sebagai menjunjung keputusan Majlis Fatwa Negeri dan komitmen kerajaan negeri dalam menjaga kesihatan rakyat serta membanteras gejala sosial, khususnya dalam kalangan anak muda.

Menurut beliau, bermula tarikh tersebut, semua lesen yang diberikan kepada premis-premis perniagaan yang menjual vape akan ditarik balik secara menyeluruh.

“Penjualan vape akan diharamkan secara total bermula 1 Ogos. Lesen premis yang terlibat akan ditarik balik. Kami nasihatkan mereka supaya mencari bidang perniagaan lain,” katanya dalam sidang media di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, di sini hari ini.

Mohd Shukri menegaskan, keputusan ini dibuat berpandukan ketetapan Majlis Fatwa Negeri Perlis yang telah mengharamkan penggunaan vape berdasarkan kemudaratannya terhadap kesihatan dan akhlak masyarakat.

“Vape ini satu ancaman. Kita laksanakan pengharaman ini berpandukan fatwa negeri. Walaupun kita tidak dapat kawal semua saluran, khususnya penjualan dalam talian, tetapi kita tetap ambil tindakan terhadap premis dan peniaga yang ada dalam negeri,” jelasnya.

Beliau turut menjelaskan bahawa urusan penguatkuasaan terhadap penjualan dalam talian adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.

“Jualan dalam talian ini di bawah Kerajaan Pusat. Negeri tidak ada kuasa. Tapi kita harap Kerajaan Pusat turut ambil tindakan seiring dengan pendekatan ini,” tambah beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang.

Fatwa haram vape sejak 2022

Untuk rekod, Mufti Perlis, Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin telah memfatwakan pada tahun 2022 bahawa penggunaan rokok elektronik atau vape adalah haram kerana membawa lebih banyak keburukan berbanding manfaat.

Fatwa itu mengambil kira pandangan pakar kesihatan dan realiti semasa yang menunjukkan peningkatan ketagihan dalam kalangan remaja serta pelajar sekolah termasuk pelajar perempuan yang terjebak dengan budaya vape.

Langkah ini sekali gus menjadikan Perlis antara negeri terawal yang tegas menolak budaya vape atas dasar perlindungan kesihatan awam dan maqasid syariah.

Menurut Mohd Shukri, kerajaan negeri tidak akan mengeluarkan sebarang lesen baharu bagi perniagaan vape, sepertimana pendekatan yang telah diambil terhadap premis judi dan penjualan arak di Perlis sebelum ini.

“Kita tak akan keluarkan lesen untuk vape. Ini sama seperti tindakan kita terhadap premis judi. Itu pendekatan kita yang jelas dan berprinsip,” tegas beliau.

Untuk rekod, Perlis sebelum ini telah mengambil langkah progresif dengan membanteras aktiviti perjudian serta mengehadkan penjualan arak hanya di lokasi yang sangat terkawal.

Ketika ditanya mengenai nasib peniaga kecil yang terlibat dalam industri vape, beliau menyeru agar mereka segera menukar haluan kepada perniagaan lebih baik dan tidak memudaratkan masyarakat.

“Kita pulangkan kepada mereka. Apa-apa sahaja perniagaan yang lebih baik, silakan. Banyak lagi bidang yang boleh diceburi. Kerajaan negeri akan bantu sedaya mungkin dalam proses peralihan ini,” ujarnya.

Difahamkan terdapat sekitar 30 premis yang menjual vape di seluruh negeri Perlis ketika ini. – HARAKAHDAILY 14/5/2025

- Advertisement -