
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia menegaskan bahawa isu kapal terbang Malaysia Airline MH17 yang ditembak jatuh bukanlah permainan politik sebaliknya tuntutan moral dan nasional demi menegakkan keadilan buat mangsa tragedi berkenaan.
Pengarah Komunikasi Strategiknya, Nazrul Nazir, menyifatkan kenyataan Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan sebagai lucu apabila mendakwa usaha menuntut keadilan dalam isu itu sebagai tindakan mempolitikkan tragedi dan cubaan mengaut laba politik murahan.
“Katanya (Setiausaha Politik itu) lagi, pihak yang menunggang isu ini adalah pihak picisan yang dangkal isu. Nasihat beliau, kita tidak seharusnya terheret dalam permainan kuasa-kuasa besar dengan membantu menghalakan peluru musuh ke arah kita,” petiknya membidas.
Beliau berkata demikian susulan ketegasan Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari, yang menuntut ketegasan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam isu keadilan mangsa MH17 ketika lawatan ke Rusia.
Ia menurutnya, setelah Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) memutuskan secara rasmi bahawa Rusia bertanggungjawab dalam tragedi penembakan pesawat MH17 pada 17 Julai 2014 di ruang udara Ukraine.
“Persoalannya, siapa yang tak faham isu dan cuba mempolitikkan tragedi MH17? Isu yang sedang diperjuangkan ialah soal keadilan untuk nyawa rakyat Malaysia yang telah terkorban. Tiada kaitan dengan mainan politik, baik politik dalaman mahupun melibatkan politik kuasa besar.
“Persoalan kita kini adalah tentang penegasan pihak kerajaan dalam menuntut keadilan bagi angkara ‘peluru sebenar’ yang telah menembak jatuh pesawat MH17 sehingga meragut 298 nyawa dengan cara yang sangat mengayat hati.
“Bahkan, amat wajar bagi Malaysia sebagai negara pemilik pesawat untuk menegaskan pendiriannya secara rasmi dan berani,” katanya yang juga pengamal undang-undang.
Nazrul berkata, biarpun sudah 11 tahun tragedi ini berlaku, namun ia masih kekal sebagai luka mendalam dalam sejarah negara dan kekal menjadi parut bernanah bagi ahli keluarga mangsa.
“Maka, ini bukanlah satu permainan politik, tetapi tuntutan moral dan nasional untuk menegakkan keadilan,” katanya.
Menurutnya, lawatan rasmi Perdana Menteri ke Rusia boleh dilihat sebagai langkah strategik yang bersifat dwi-manfaat.
“Jika diurus dengan bijaksana, lawatan ini boleh menjadi peluang untuk menyuarakan kebenaran, memperkukuh hubungan strategik.
“Dan (ia juga) memastikan keadilan terus diperjuangkan tanpa mengorbankan dasar berkecuali yang selama ini menjadi kekuatan Malaysia di arena global seperti yang dinyatakan,” katanya.
Katanya secara sinis, undangan Putin itu tidak sewajarnya menjadikan Malaysia ‘lembik tengkuk’.
“Sepertimana terserlahnya ketegasan YAB Perdana Menteri di hadapan Israel sebelum ini, perkara yang sama sedang dituntut kini di hadapan Rusia.
“Dalam hal ini, wajarlah Setiausaha Politik bertindak menasihati dan merangka langkah strategik YAB Perdana Menteri. Bukannya merangka kenyataan panjang melawan pembangkang.
“Apa-apapun, kita mengharapkan agar lawatan YAB Perdana Menteri ke Rusia kali ini akan membawa pulang bekalan yang menggembirakan rakyat Malaysia, terutamanya ahli keluarga mangsa MH17,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/5/2025











