PAS terus diterima rakyat sebagai parti berintegriti

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Mohd Salleh menyambut baik kenyataan berani dan realistik yang dibuat oleh Ahli Parlimen Pandan, Dato’ Seri Mohd Rafizi Ramli dalam isu berkaitan usaha menangani rasuah oleh PAS.

- Advertisement -

Menurut beliau, kenyataan tersebut dizahirkan dalam sebuah ceramah baru-baru ini menunjukkan satu pengakuan jujur yang harus membuka mata rakyat Malaysia terhadap realiti sebenar landskap rasuah negara.

“Saya sungguh bersyukur dan gembira dengan pengakuan ini. Dalam suasana politik yang sering dibayangi retorik, kenyataan berdasarkan kajian data sebegini adalah cerminan kejujuran dan profesionalisme,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ustazah Nuridah turut merujuk dapatan kaji selidik yang menunjukkan peningkatan kepercayaan pengundi Gen Z dan Millennial terhadap PAS dalam isu integriti dan kecekapan menangani rasuah, berbanding parti-parti lain.

“Hakikat bahawa PKR hanya memperoleh 8 peratus keyakinan Gen Z, berbanding PAS dengan 29 peratus, adalah satu tamparan realiti buat kerajaan,” ujarnya.

Bekas Ahli Dewan Negara itu turut menambah bahawa trend penurunan sokongan terhadap kerajaan merentasi semua kaum membuktikan rakyat sedang mencari alternatif yang bersih, amanah dan stabil.

Beliau menegaskan bahawa PAS tidak terlibat dalam mana-mana skandal rasuah dan terus konsisten dengan prinsip perjuangan membela agama, bangsa dan tanah air.

“Alhamdulillah, kita istiqamah dalam membina kekuatan melalui gerak kerja kebajikan serta pentadbiran negeri yang menunjukkan prestasi baik seperti di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis,” jelas beliau.

Ustazah Nuridah turut menyeru rakyat Malaysia, terutamanya anak-anak muda, untuk terus memberi kepercayaan kepada PAS dan Perikatan Nasional sebagai pilihan yang lebih diyakini.

“Kita bukan sekadar parti politik, tetapi juga merupakan gerakan tarbiah, dakwah dan kebajikan yang membawa sinar harapan untuk Malaysia yang lebih adil, bersih dan diberkati Allah,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 14/5/2025

- Advertisement -