MyKiosk: Bantu peniaga kecil atau untungkan kroni?

- Advertisement -

SHAH ALAM: Projek MyKiosk dilancarkan di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dengan peruntukan mencecah RM150 juta dilihat gagal mencapai matlamatnya, apabila ribuan kiosk disediakan kini terbiar kosong, usang dan tanpa sebarang aktiviti ekonomi.

- Advertisement -

Ketua Penerangan PAS Negeri Selangor, Zurk Ahmad berkata, deretan kiosk merah putih yang dibina kononnya untuk membantu golongan peniaga kecil ternyata tidak memberi kesan seperti yang diuar-uarkan kerajaan.

“Sehingga sekarang sudah lebih 7,000 unit kiosk disediakan, namun hanya sedikit yang beroperasi. Lebih mendukacitakan, kiosk yang tersadai itu didakwa berharga RM25,000 seunit.

“Tambahan lagi, rata-rata peniaga menyatakan bahawa kiosk tersebut sempit, senang dimasuki air hujan serta berada di lokasi yang tidak strategik. Langsung tidak padan dengan peruntukan yang diberi oleh kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, projek ‘gajah putih’ sebegini bukan perkara baru dalam Kerajaan Madani, dengan MyKiosk menjadi satu contoh bagaimana perancangan tanpa libat urus dan ketelusan akhirnya hanya melahirkan lebih banyak kerugian dari manfaat.

“Adakah kajian dan perancangan menyeluruh telah dibuat sebelum inisiatif dijalankan? Bagaimana kos untuk struktur kecil ini boleh mencecah harga lebih RM20,000 seunit? Berapa banyakkah sebenarnya kiosk yang beroperasi?

“Adakah inisiatif ini berjaya membantu peniaga kecil atau hanya memberi keuntungan kepada kroni tertentu? Siasatan menyeluruh perlu dilakukan terhadap projek MyKiosk bagi menjawab persoalan-persoalan ini,” katanya.

Menteri KPKT, Nga Kor Ming baru-baru ini menafikan projek berkenaan sebagai ‘gajah putih’, dengan mendakwa ia sama sekali tidak benar dan tidak berasas selepas majoriti kiosk itu telah pun diisi, dengan hanya sebahagian kecil yang masih belum beroperasi.

“Arahan telah pun dikeluarkan oleh Jabatan Kerajaan Tempatan agar kesemua 7,000 kiosk di seluruh negara (untuk) diisi sepenuhnya,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/5/2025

- Advertisement -