Anak muda diseru kukuh jati diri, jauhi publisiti kosong

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Dato’ Sri Amar D’Raja Mohd Amar Abdullah menyeru anak muda agar menggalas beban masa depan dengan jati diri kukuh dan kekuatan dalaman yang utuh.

- Advertisement -

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor, Kelantan itu, tanggungjawab masa depan bukan beban memberatkan, sebaliknya satu amanah yang memuliakan.

“Di bahu anak muda, tergalas beban masa depan. Bukan beban yang memberatkan, tetapi tanggungjawab yang memuliakan. Kukuhkan jati diri, teguhkan prinsip, dan bina kekuatan dari dalam.

“Jangan mudah goyah oleh pujian, jangan cepat rebah oleh cercaan. Jadilah seperti mutiara yang tersembunyi di dasar lautan. Tidak meminta dilihat, namun tetap dicari oleh mereka yang tahu menilai,” ujarnya dalam media sosial miliknya.

Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan itu turut mengajak anak muda membina nilai diri dengan keutuhan akhlak, bukan semata-mata mengejar perhatian atau sorakan.

“Jadilah seperti berlian yang terpendam jauh di perut bumi. Tidak menjerit untuk dilelong, tidak memaksa diri untuk dikenali, namun tetap diangkat tinggi hingga diletakkan dalam bekas kaca. Nilainya diakui.

“Begitulah seharusnya diri dibentuk. Menjadi insan yang bernilai, bukan dengan sorakan, tetapi dengan keutuhan akhlak dan ketulusan jiwa. Menjadi pemimpin kerana kualiti yang terpancar, bukan kerana publisiti yang dicipta,” nasihatnya.

Mohd Amar turut mengingatkan bahawa kepimpinan dalam gerakan dakwah tidak pernah dipilih secara semberono, sebaliknya melalui kebijaksanaan para wakil dari seluruh negara.

“Para wakil dari segenap pelosok tanah air memiliki kebijaksanaan dalam menilai. Mereka mengangkat seseorang bukan kerana rupa atau lantangnya suara, tetapi kerana amanah yang terpikul dan jiwa besar yang terpancar dari keikhlasannya,” jelasnya.

Beliau berkata, cabaran semasa berbeza dengan masa lalu kerana kini ia melibatkan kekuatan fikiran dan keteguhan nilai, bukannya kekuatan fizikal semata-mata.

“Yang mampu melangkah ke hadapan bukan semata-mata mereka yang lantang bersuara, tetapi yang datang dengan gagasan segar, dihias dengan ilmu dan kebijaksanaan.

“Masa depan yang gemilang hanya akan terbit apabila ada kesediaan untuk membuka ruang kepada yang muda, yang tekun belajar, yang bersedia memikul amanah, dan yang jujur dalam membawa beban tanggungjawab dengan hati yang bersih,” katanya lagi.

Tambahnya, umat Islam perlu peka terhadap ancaman halus yang sering kali datang dari arah tidak disangka.

“Yang kelihatan diam, tetapi mengatur. Yang tampak kecil, namun punya cengkaman yang besar.

“Justeru, kita perlu bijak membaca suasana, memahami gelombang di sebalik tenang, agar tidak terperangkap dalam perselisihan sesama sendiri, sedang hakikatnya cabaran yang lebih besar sedang menanti di hadapan, berselindung di sebalik bayang,” tegas beliau.

Mengulas situasi di Pengkalan Chepa, Mohd Amar berkata meskipun tidak sempurna, warisan perjuangan terus dipelihara dengan baik.

“Sejak dahulu, pelbagai dugaan datang bersilih ganti, namun dengan sokongan dan kepercayaan semua, kubu ini tetap berdiri teguh, tidak goyah. Dan suatu hari nanti, kami yang ada hari ini akan melangkah pergi.

“Maka bersiap sedialah, bukan sekadar untuk mengganti, tetapi untuk menyambung perjuangan dengan semangat yang lebih segar dan langkah yang lebih jauh,” katanya.

Mengimbas permulaan pembabitan dalam dunia politik, beliau mengakui tidak pernah berniat menjadi wakil masyarakat.

“Terus terang, dahulu tidak pernah terlintas di hati ini untuk menjadi wakil kepada masyarakat. Ketika itu, hidup terasa cukup tenang dan selesa sebagai seorang pensyarah di menara ilmu.

“Namun apabila datang seruan untuk pulang dan membantu, hati ini tidak sanggup menolak. Kerana dalam panggilan itu, ada amanah yang menunggu untuk disambut,” kongsinya.

Mohd Amar menegaskan bahawa jawatan bukanlah matlamat peribadi, tetapi tanggungjawab yang perlu ditunaikan dengan penuh keinsafan.

“Jawatan bukan matlamat, ia bukan sesuatu yang dicari, apatah lagi dikejar. Tetapi apabila ia hadir sebagai tanggungjawab, maka ia mesti disambut dengan penuh keinsafan dan dilaksanakan sebaik mungkin,” tambah beliau.

Menurutnya lagi, ilmu dan pengalaman adalah pelengkap utama dalam membina persediaan kepimpinan, bukan semangat semata-mata.

“Mereka yang datang sebelum kita tidak membina kekuatan dalam sehari dua. Mereka menelusuri sejarah dengan mata hati, menyelami sirah sebagai kompas dalam setiap langkah,” katanya.

Mengulas tokoh terdahulu, beliau mengangkat Almarhum Tok Guru sebagai contoh kepimpinan yang berakar pada sirah dan sejarah Islam.

“Tokoh-tokoh besar yang telah mendahului kita, seperti Almarhum Tok Guru (Nik Abdul Aziz Nik Mat), tidak pernah memisahkan diri mereka daripada panduan sejarah Islam.

“Tok Guru sentiasa menyebut tentang pendekatan yang halus dan bijaksana seperti yang pernah diamalkan oleh Muawiyah bin Abu Sufyan,” jelasnya.

Beliau berkata, seni kepimpinan menuntut ketenangan dalam ketegasan dan kelembutan tanpa kelemahan.

“Apabila keadaan menjadi tegang, beliau menenangkan suasana. Apabila suasana menjadi terlalu longgar, beliau menguatkan pendirian. Beliau tahu bila masanya untuk berlembut, dan bila saatnya untuk tegas,” katanya.

Jelasnya, generasi muda perlu mengambil pelajaran daripada sejarah untuk tidak terperangkap dalam cabaran semasa.

“Sejarah itu sifatnya berulang, cuma watak dan wajahnya sahaja yang berubah. Jangan menganggap zaman ini terlalu sukar, kerana mereka yang terdahulu pun bergelut dengan kesukaran yang tidak kurang hebatnya.

“Bezanya, mereka sabar dan tekun, lalu terbinalah tapak yang kita nikmati hari ini. Giliran kita pula untuk mengukuhkan tapak bagi yang akan datang,” nasihat beliau.

Dalam suasana ketidaktentuan masa kini, Mohd Amar menyeru semua agar kekal tenang dan istiqamah di jalan perjuangan.

“Kita adalah satu-satunya pihak yang tetap tenang, bersatu, dan istiqamah pada jalan yang diyakini bersama.

“Mungkin inilah saat yang telah ditentukan untuk kita melangkah ke peranan yang lebih besar.

“Tetapi harus diingat, semakin luas ruang yang terbuka, semakin berat pula beban yang menanti,” peringatnya.

Tambah beliau, kepercayaan adalah amanah yang besar, bukan anugerah yang boleh dipermainkan.

“Kepercayaan itu bukan hadiah, ia adalah amanah. Dan setiap amanah, jika tidak ditunaikan dengan jujur dan bersungguh, akan menjadi beban yang memusnahkan, bukan menyelamatkan,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa perjuangan bukan laluan singkat yang mudah, sebaliknya satu maraton panjang yang penuh ujian.

“Akan ada liku yang mengelirukan, ranjau yang menyakitkan, dan cabaran yang menguji setiap inci kecekalan. Tiada jalan pintas dan tiada permaidani merah yang menghampar.

“Andai hati kita teguh, niat lurus menuju reda Allah, maka setiap langkah itu menjadi ibadah.

“Setiap peluh yang menitis, setiap beban yang dipikul, akan menjadi saksi bahawa kita pernah berjuang dengan sebaiknya,” ujarnya.

Dalam konteks dunia maklumat masa kini, beliau menekankan keperluan kekuatan dalaman untuk membuat pertimbangan waras.

“Kita mesti tahu kenapa kita bersuara, dan untuk siapa suara itu ditujukan,” katanya.

Beliau turut menggambarkan keadaan Kelantan kini sebagai fasa purnama yang indah tetapi perlu bersedia menghadapi fitrah perubahan.

“Namun fasa bulan, selepas purnama, pasti akan datang waktunya ia mula mengecil. Itu adalah fitrah alam.

“Begitu juga dengan pencapaian dan kejayaan. Tidak selamanya berada di kemuncak.

“Akan tiba detik ia mulai surut. Tetapi dalam surut itu, kita masih punya ruang untuk mempertahankan sinarnya,” katanya.

Mohd Amar menyatakan harapan dalam doa agar dapat menyaksikan Malaysia dipayungi naungan yang menyatukan.

“Saya hanya ada satu harapan yang tersimpan dalam doa, moga Allah izinkan mata ini terus terbuka, walau sekejap cuma, untuk menyaksikan detik indah bumi Malaysia ini dipayungi sepenuhnya oleh warna yang membawa sejuk di dada, hijau yang menghidupkan dan menyatukan jiwa,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/5/2025

- Advertisement -