
LANGKAWI: Sebanyak 18 acara sampingan akan diadakan sempena
Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA ’25), sekali gus berlaku peningkatan 40 peratus berbanding penganjuran sebelum ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Dato’ Mohd Salleh Saidin berkata, inisiatif itu membuka lebih banyak ruang untuk pelbagai program sebagai menyokong acara utama, malah turut mempromosikan ‘Experience Kedah’ kepada pelancong.
Terdahulu, beliau mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan LIMA ’25 melibatkan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan negeri, termasuk pemain industri berkaitan di di Bilik Gerakan, Pejabat Daerah Langkawi.
Antaranya menilai tahap kesiapsiagaan semua pihak dalam membantu memastikan kelancaran dan kejayaan penganjuran LIMA ’25 kali ini.
Selain itu, kata beliau lagi, pada mesyuarat itu turut dibincangkan
bagi menjayakan Malaysia International Boat Show 2025 (MYBOS 25) yang julung kali diadakan dan akan berlangsung serentak dengan LIMA ’25.
“Komitmen ini juga selari dengan usaha memperkasakan kempen Tahun Melawat Kedah (TMK) 2025, menjadikan LIMA ’25, dan MYBOS ’25 sebagai antara puncak acara yang terus melonjakkan nama Langkawi dan negeri Kedah ke persada antarabangsa,” jelas beliau lagi.
Dalam masa sama, Dato’ Salleh juga berpuas hati dengan komtmen serta kerjasama pihak terbabit dan pemain industri pelancongan yang memberi kerjasama baik.
“Kerajaan negeri akan memberi perkhidmatan terbaik kepada semua tetamu yang bakal hadir bagi menjayakan acara-acara antarabangsa yang cukup mengujakan itu,” kata beliau lagi.
LIMA merupakan pameran udara dan maritim yang berkaitan dengan penerbangan komersil dan pertahanan dan dijadualkan diadakan di Pulau Langkawi selama lima hari, bermula 20 hingga 24 Mei depan.
Pameran ini merupakan edisi ke-17 dan akan diselenggarakan secara bersama oleh Kementerian Pertahanan Malaysia dan Global Exhibitions & Conferences Sdn Bhd dengan membawa tema ‘Innovate Today, Thrive Tomorrow’. – HARAKAHDAILY 14/5/2025











