Pasar rakyat bantu ringankan beban kos hidup

- Advertisement -

KOTA BHARU: Pelaksanaan Pasar Rakyat Kelantan atau KelAgro beri impak positif dalam meringankan beban kos sara hidup rakyat yang dianjurkan pada bulan Mac lalu di seluruh negeri Kelantan.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Mohd Nassuruddin Daud dalam satu hantaran di Facebook hari ini berkata, beliau dimaklumkan sambutan sangat baik terhadap inisiatif tersebut.

Menurut beliau, usaha itu mencerminkan komitmen kerajaan negeri bagi membantu rakyat melalui subsidi langsung iaitu menawarkan harga barangan keperluan harian yang lebih murah.

“Pasar ini bukan sahaja menawarkan barangan dapur segar pada harga mampu milik, malah membuktikan kesungguhan kita membantu rakyat melalui subsidi kepada harga barangan asas.

“Semoga segala usaha yang dirancang dan dilaksanakan ini dipermudahkan dan berjalan dengan lancar demi kesejahteraan rakyat serta kemakmuran rakyat negeri Kelantan,” katanya.

Terdahulu beliau mempengerusikan Mesyuarat Anggota Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Kelantan (PKPNK) di Mabna MBI, Kompleks Kota Darulnaim di sini semalam.

Kelihatan hadir Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi, Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail.

Dalam mesyuarat terbabit Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meranti itu diberi taklimat mengenai tiga projek pertanian negeri termasuk perkembangan projek Rong Chenok Agro Valley (RCAV).

Selain itu, beliau turut diberikan maklumat mengenai pembinaan Kilang Padi Darul Naim dan pembangunan projek ternakan lembu tenusu yang bakal dilaksanakan seluruh negeri tidak lama lagi.

Menurutnya ketiga-tiga projek itu diselaraskan bersama agensi kerajaan seperti Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kelantan dan Jabatan Pertanian Kelantan dengan kerjasama agensi negeri.

“Saya mengamati perkembangan projek-projek pertanian yang sedang berjalan dan akan dilaksanakan di negeri Kelantan sepanjang tahun 2025 termasuk RCAV, kilang padi dan projek lembu tenusu.

“Usaha ini amat penting menjayakan sasaran menjadikan Kelantan Jelapang Makanan Negara, satu wawasan besar menuntut komitmen, perancangan strategik dan pelaksanaan menyeluruh,” katanya. HARAKAHDAILY 14/5/2025

- Advertisement -